Pesta Buku Terbesar Tawar 3.5 Juta Naskhah

Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2015 2:55 PM

(Ubah saiz teks)

SERI KEMBANGAN: Big Bad Wolf Books Sdn Bhd akan menawarkan sejumlah 3.5 juta naskhah buku pada acara tahunan 'Big Bad Wolf' edisi keenam bermula esok yang dijangka menarik sehingga 600,000 pembaca.

Pengarah Urusannya Andrew Yap juga optimis acara 10 hari atau 257 jam tanpa henti di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia di sini, yang dilabelkan pusat buku terbesar dunia itu, adalah lebih baik berdasarkan sambutan hebat diterima pada tahun lepas.

"Rakyat Malaysia perlukan lebih banyak buku yang bagus (untuk dibaca) dan harga buku kami adalah antara 75 peratus sehingga 95 peratus lebih murah berbanding harga runcit.

"Pesta buku ini dikunjungi seramai 500,000 orang tahun lepas yang menyaksikan jualan sejumlah 2.7 juta buku.

"Tahun ini, kita jangkakan kira-kira 600,000 pengunjung hadir dan diharap tiga juta buku dapat dijual," katanya kepada Bernama selepas previu media mengenai pesta buku berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Yap yang juga Pengarah Eksekutif BookXcess Sdn Bhd berkata pesta itu akan menawarkan buku masakan, fiksyen, animasi serta buku kanak-kanak.

"Kami memberi sentuhan ala 1960-an bagi acara tahun ini bagi mengingatkan orang ramai mengenai zaman yang lebih tenang apabila ramai yang membaca atas dasar untuk menimba ilmu serta memperolehi maklumat.

"Sebelum ini, kita mampu membeli lebih banyak buku pada harga lebih murah berbanding belian senaskhah buku hari ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Pesta Buku

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan