Isu Bertemu Anak Pengganas Sulu: Nasib Nurul Izzah Ditentukan Hari Ini

Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2015 11:34 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Nasib Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berhubung pertemuannya dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu, Jacel Kiram akan ditentukan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka akan membentangkan usul untuk merujuk naib presiden PKR itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen selepas pukul 11.30 pagi ini (Khamis).

Usul berkenaan akan dibentang di bawah Perintah Tetap 27(3) dan 80.

Kontroversi tercetus selepas anak perempuan Jamalul Kiram III itu memuat naik empat keping gambar pada 9 November lepas dalam akaun Facebook yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

Perkara itu mendapat reaksi kurang senang dari pelbagai pihak di negara ini.

BERIKUT penyataan usul seperti yang terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul berhubung isu berkenaan:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan: 

BAHAWA Majlis mengambil maklum berkenaan peristiwa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari 2013 oleh kumpulan yang dikenal pasti sebagai pengikut Jamalul Kiram III bagi merampas wilayah di pantai timur Sabah.

BAHAWA pencerobohan kumpulan tersebut ternyata telah mencabar kedaulatan Negara dan telah mengakibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan Negara.

BAHAWA sebagaimana yang telah dilaporkan di laman media sosial dan gambar yang dimuat naik oleh Puteri Jacel Kiram pada 9 November 2015, Yang Berhormat Lembah Pantai telah menghadiri pertemuan bersama dengan Puteri Jacel Kiram yang merupakan anak kepada Jamalul Kiram III.

BAHAWA Yang Berhormat Lembah Pantai sedia maklum bahawa Puteri Jacel Kiram menentang kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Negara Malaysia dan sehingga kini masih menuntut negeri Sabah adalah milik Kesultanan Sulu.

BAHAWA pertemuan Yang Berhormat Lembah Pantai dan Puteri Jacel Kiram tersebut menimbulkan prasangka negatif dan tidak sensitif terhadap peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang telah mencabar kedaulatan Negara.

BAHAWA pertemuan Yang Berhormat Lembah Pantai bersama dengan anak kepada dalang pencerobohan Negara telah dilihat bertentangan dengan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan sumpah setia beliau kepada Malaysia yang telah berikrar untuk menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.

DAN BAHAWA tindakan Yang Berhormat Lembah Pantai tersebut merupakan suatu penghinaan kepada Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

MAKA inilah dipersetujui Yang Berhormat Lembah Pantai hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Tags / Kata Kunci: PKR , Dewan Rakyat , Lahad Datu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan