Penahanan Kadafi, Keadilan Kepada Mangsa Culik - Kedutaan Filipina

Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2015 3:51 PM

Bernard Then adalah mangsa culik yang didalangi Kadafi sebelum dipenggal kepalanya pada 17 November lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kedutaan Filipina menyifatkan penahanan Kadafi Muktadlil atau dikenali sebagai Kadaffy Kamsa dan Saddam Jailani adalah bertepatan dengan usaha untuk menuntut keadilan atas kematian tahanan rakyat Malaysia, Bernard Then.

Malahan, tindakan itu dianggap wajar bagi pihak mangsa penculikan yang dibebaskan serta keluarga mereka.

Menerusi kenyataan pada Rabu, kedutaan negara itu berkata, pihaknya sedia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menangani kegiatan jenayah termasuk penculikan.

"Sebagai tanda persahabatan, pihak Filipina sedia membuka ruang kepada pihak berkuasa Malaysia mengesan dua suspek sebaik permohonan rasmi dikemukakan," katanya.

The Star melaporkan Kadafi telah ditahan polis Filipina.

Menurut Ketua Polis Jolo, Mejar Junpikar Sitin, anggota Abu Sayyaf yang terlibat dalam kemalangan itu menerima rawatan di sebuah hospital apabila ditahan polis Panamao.

"Ya, dia terlibat dalam kemalangan kenderaan dan polis Panamao sedang mengendalikan kes ini," katanya.

Katanya lagi, Kafafi mendapatkan rawatan di hospital itu menggunakan nama Amin Maing, sebelum identiti sebenarnya diketahui dan ditahan.

Menurut Philippine Inquirer, dua rakan Kadafi yang juga mendapat rawatan di hospital sama bagaimanapun dapat melarikan diri.

Mereka bertiga terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kereta di bandar Old Panamao di Sulu.

Jailani bersama Kadafi dan abangnya, Mindas terlibat dalam penculikan pengurus restoran, Thien Nyuk Fun di Sandakan dan Then di Ocean King Seafood pada Mei lalu.

Nyuk Fun telah dibebaskan pada 8 November lalu, manakala Then tidak bernasib baik apabila kepalanya dipenggal pada 17 November lalu.


 
Tags / Kata Kunci: Kadafi , Muktadlil , Saddam Jailani , Bernard Then

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan