SPR Jalan Kajian Urusan Persempadanan Semula Parlimen, DUN - Azalina - Berita Semasa | mStar

SPR Jalan Kajian Urusan Persempadanan Semula Parlimen, DUN - Azalina

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2015 12:39 PM

Azalina Othman Said.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan kerja-kerja pentadbiran sebagai persiapan awal untuk memulakan kajian urusan persempadanan semula bahagian-bahagian Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerja-kerja tersebut membabitkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan bilangan pengundi semasa.

"(Kerja-kerja itu) seterusnya menyediakan draf laporan awal urusan persempadanan sebelum cadangan persempadanan SPR dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Bahagian II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) yang ingin tahu setakat manakah persediaan yang dilakukan SPR bagi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. 

Menyentuh mengenai negeri Sarawak, Azalina memaklumkan bahawa kajian telah selesai dilaksanakan apabila laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Ogos lepas. 

"Tarikh tersebut juga diwartakan sebagai tamatnya tempoh urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: SPR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan