Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden Umno Terserah Pada Presiden - Tengku Adnan

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2015 1:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan kepada presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan sama ada Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan agung kali ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata tidak terdapat dalam perlembagaan parti bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti kelaziman sebelum ini.

"Seorang (presiden) sahaja pun sudah memadai...tapi terserahlah pada presiden dan MT (Majlis Tertinggi)...saya hanya setiausaha agung sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: 'Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat' di sini pada Isnin.

Secara tradisinya, sebelum presiden Umno menggulung perbahasan pada hariterakhir perhimpunan agung, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata tidak salah jika tradisi dalam Umno yang tidak terdapat dalam perlembagaan diubah, seperti juga perubahan pada mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini.

"Macam sayap juga, mereka minta jika ucapan dasar ketua masing-masing boleh dijadikan ucapan perasmian mesyuarat, jadi tidak perlu lagi timbalan presiden rasmikan seperti sebelum ini," katanya.

Selasa lepas, mesyuarat MT Umno memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat sayap Umno akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing dan tidak lagi oleh timbalan presiden.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.-Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan