Rakyat Sabah Terasa Hati Individu Tertentu Jumpa Dalang Serangan Pengganas

Diterbitkan: Ahad, 29 November 2015 3:00 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Anggota Parlimen Pekan (tengah) bersalaman dan beramah mesra dengan warga Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ketika majlis Perdana Menteri bersama Warga Rela, Ahad.

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, terasa hati dengan tindakan individu tertentu dari negara ini berjumpa dengan pihak yang mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu pada 2013.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbuatan itu bagaikan tidak menghormati perjuangan anggota keselamatan mempertahankan negara sehingga 10 daripada mereka terkorban dalam insiden itu.

"Rakyat Sabah tentu tersentuh hati jika ada sesiapa tidak hormati pengorbanan anggota keselamatan ini... mereka hilang nyawa dengan cara zalim.

"Apatah lagi kalau mereka lihat ada orang yang berbaik-baik dan kelihatan mesra dengan mereka yang mempunyai kaitan menyebabkan anggota keselamatan kita terkorban," katanya ketika berucap di majlis Rela bersama Perdana Menteri di Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, Ahad.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail.

Walaupun tidak menyebut nama individu terbabit, kenyataan Najib itu dipercayai merujuk kepada tindakan Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, berhubung pertemuan kontroversinya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Berikutan itu, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan usul menghalang beliau dan seorang lagi Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki Sabah.

Sementara itu, Najib berkata kestabilan politik yang jitu merupakan asas utama kepada keselamatan negara ketika berhadapan dengan ancaman keselamatan baharu dan lama ketika ini.

"Jika politik dalam keadaan tidak stabil, negara akan bergolak, sama seperti apa yang sedang berlaku di sesetengah negara seperti Syria, Tunisia, Mali dan negara Eropah."Jika politik dalam keadaan stabil, soal ancaman keselamatan akan lebih mudah ditangani," katanya.

Perdana menteri berkata hakikat pada masa kini, ancaman keselamatan boleh datang dari pelbagai sudut dan penjuru, serta akan muncul dari semasa ke semasa.

Ini, katanya, termasuk ancaman pemerdagangan manusia, kehadiran pelarian serta penyebaran fahaman keganasan menerusi kumpulan pengganas Daesh.

'Daesh' adalah singkatan nama dalam bahasa Arab bagi militan IS.

Najib berkata ini memerlukan perhatian serius semua pihak lebih-lebih lagi apabila 130 rakyat Malaysia ditahan kerana terlibat dengan kegiatan itu.

"Ini bentuk ancaman yang kita perlu tingkat kesiapsiagaan bukan sahaja pasukan hadapan tetapi juga Rela dan 29 juta rakyat Malaysia untuk mendepani apa jua ancaman keselamatan yang mendatang," katanya.

Sementara itu, Najib berkata anggota Rela yang berjumlah tiga juta orang di seluruh negara bukan sahaja perlu menjadi mata dan telinga kerajaan, tetapi juga tangan kerajaan untuk menjadi benteng mempertahankan keselamatan negara. 

Kata beliau, jika polis dan tentera menjadi barisan utama pertahanan negara, Rela pula adalah barisan kedua dalam menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

"Terima kasih atas daya usaha untuk terus bangunkan Rela sebagai satu kekuatan tambahan dalam sistem pertahanan negara," katanya.

Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih 10,000 anggota Rela dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu, Najib turut menyampaikan sumbangan pakaian operasi digital kepada pasukan Rela daerah Pekan.-- Bernama

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan