Ratu Elizabeth II Imbas Ikatan Dengan Malta, Komanwel

Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 11:20 AM

Ratu Elizabeth II ketika menghadiri majlis makan malam sempena CHOGM di Malta.

(Ubah saiz teks)

VALLETTA (MALTA): Ratu Elizabeth II mengimbas kembali kenangan manis ketika di Malta yang dikaitkan dengan kehidupan baginda selepas mendirikan rumahtangga dan penubuhan Komanwel pada 1949.

Ratu Elizabeth, 89, bertitah bahawa pada tahun itu, pulau tersebut ialah tempat baginda menjalani kehidupan selepas baru mendirikan rumahtangga dengan Putera Philip dan ia serentak dengan penubuhan Komanwel.

Ratu British itu telah merasmikan pembukaan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015 selama tiga hari, Sabtu.

"Putera Philip dan beta berangkat tiba untuk memulakan kehidupan di sini pada 1949, tahun yang sama Komanwel ditubuhkan, " titah baginda.

Ketua Komanwel itu juga memuji rakyat Malta dan kerajaan Malta atas komitmen mereka kepada Komanwel dan berbangga bagaimana negara anggota Komanwel telah mencapai kemajuan semasa dalam tempoh lebih 60 tahun baginda menerajui pertubuhan itu.

CHOGM, sidang kemuncak dwitahunan, ialah platform penting bagi ketua-ketua kerajaan negara anggota untuk berkumpul bagi membincangkan isu-isu global dan Komanwel dan membuat keputusan mengenai dasar dan inisiatif secara kolektif.

CHOGM di Malta akan menangani isu-isu seperti perubahan iklim, migrasi, ekstremisme dan keganasan melampau, membina daya tahan di negara-negara kecil, pembanhunan lestari, memperkasakan belia, kesamarataan gender dan hak asasi manusia.

Malta, sebuah negara kepulauan di Laut Mediterranean, menganjurkan CHOGM bagi kali kedua selepas 2005.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM dan Malaysia dijangka akan menjadi hos mesyuarat CHOGM pada 2019.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Ratu Elizabeth II , Malta , Komanwel , CHOGM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan