Cheng Guan Sahut Cabaran Guan Eng

Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 10:25 AM

Huan Cheng Guan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan menyahut cabaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Cheng Guan berkata, beliau akan meletakkan jawatan dalam parti dan menyertai DAP sebagai ahli biasa sekiranya Guan Eng bersetuju untuk bertanding dalam pemilihan DAP Pulau Pinang.

"Sekarang terletak kepada keputusan beliau," kata Huan dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat yang turut memaparkan gambar borang permohonan keahlian DAP.

Cheng Guan turut dilaporkan berkata, Guan Eng akan mengalami "mimpi ngeri" sekiranya beliau menyertai DAP.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, Cheng Guan tidak mempunyai hak untuk mencabarnya supaya bertanding dalam pemilihan parti DAP kerana Cheng Guan bukan seorang ahli DAP.

Cheng Guan telah mencabar Guan Eng untuk membuktikan bahawa ketua menteri itu mempunyai lebih banyak sokongan berbanding pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, keengganan Guan Eng jelas bukan menunjukkan bukan ketua menteri yang "sah".

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, sudah terlewat mempertimbangkan untuk bertanding ketika ini kerana tarikh akhir pencalonan telah ditutup dan menolak cakap-cakap mengenai pertandingan populariti antara beliau dengan Kon Yeow.

"Saya sentiasa menyokong Chow (Kon Yeow) sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang dan beliau sentiasa menyokong saya sebagai setiausaha agung DAP," tambahnya.

Bagaimanapun, Cheng Guan menyindir Guan Eng takut berikutan keengganannya untuk bertanding.

"Bertanding dalam pemilihan hanya membuktikan beliau mempunyai sokongan di kalangan ahli DAP Pulau Pinang, sesuatu yang kita semua sering ragu-ragu. Adakah beliau takut untuk bertanding?" katanya.

Beliau turut mencadangkan Guan Eng supaya sentiasa bertanding dan memenangi sebagai salah seorang daripada 15 anggota jawatankuasa negeri, dan kemudian membenarkan Kon Yeow kekal sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang.

Seramai 48 ahli politik DAP akan bersaing untuk merebut 15 jawatan yang dipilih dalam pemilihan dalaman jawatankuasa negeri pada Ahad ini.

Puak Kon Yeow meramalkan penyandang pengerusi DAP negeri itu akan memperoleh sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jawatan yang dipertandingkan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan