EAIC Mahu SPRM Di Bawah Seliaannya

Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 6:42 PM

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam ketika menghadiri dialog EAIC bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan media di Bangi,Sabtu. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

BANGI: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disenaraikan sebagai agensi penguat kuasa di bawah kawal selia badan bebas itu.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata EAIC menerima banyak pertanyaan mengenai SPRM yang dikecualikan daripada seliaan EAIC.

Sambil memberi contoh, beliau berkata kematian orang tahanan atau orang disiasat semasa berada dalam siasatan SPRM seperti setiausaha politik Teo Beng Hock dan pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed memberi justifikasi agar ia dimasukkan di bawah kawal selia EAIC.

"Ketika ini, SPRM tidak termasuk dalam Akta EAIC 2009 (Akta 700). Oleh itu, kami cadangkan kepada kerajaan melalui pindaan ini, ia akan menghapuskan seksyen itu.

"Memandangkan EAIC menyiasat aduan berkaitan salah laku Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka ia harus diguna pakai kepada SPRM," katanya pada sidang media selepas menghadiri dialog EAIC bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan media di sini Sabtu.

Selain SPRM, Yaacob berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan antara agensi dicadangkan disenaraikan dalam senarai Akta 700.

EAIC yang mula beroperasi pada 1 April 2011 sebagai badan bebas menerima dan menyiasat aduan berkaitan salah laku membabitkan 21 agensi penguatkuasaan Persekutuan yang disenaraikan dalam Jadual Akta 700.

Justeru, katanya versi akhir Rang Undang-undang Pindaan Akta 700 akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat setelah memperhalusi beberapa pindaan teknikal.

Beliau berkata pindaan Akta 700 merupakan usaha untuk memantapkan integriti, memperkasakan akauntabiliti dan kredibiliti perkhidmatan penguatkuasaan 21 agensi penguatkuasaan Persekutuan.

"EAIC berharap pindaan Akta 700 akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan dan seterusknya diberi tarikh kuat kuasa yang awal," katanya.

Selain itu, Yaacob berkata pindaan Akta 700 juga termasuk mewajibkan Pihak Berkuasa Tatatertib memaklumkan semula kepada EAIC prosiding dan keputusan tatatertib yang diambil terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melakukan salah laku.

Pindaan Akta 700 juga termasuk EAIC diberi kuasa mengambil alih siasatan tatatertib yang dijalankan agensi jika EAIC mendapati siasatan yang dijalankan tidak memuaskan, katanya.

"Kita akan ambil alih siasatan untuk menangani elemen berat sebelah atau siasatan prejudis oleh agensi terlibat. Sebagai badan bebas, kami akan lakukan siasatan, bukan agensi yang menyiasat pegawai mereka sendiri, khususnya kes besar, signifikan dan berkepentingan," katanya.

Sementara itu, Yaacob berkata pada tahun ini, EAIC menerima 262 aduan  sehingga Oktober ini berbanding 309 sepanjang tahun lepas, 306 (2013), 357 (2012) dan 18 (2011).

Beliau berkata hampir 80 peratus aduan diterima adalah berkaitan salah laku polis antaranya tidak membuka kertas siasatan dan tidak mengambil keterangan.

"Tidak dapat dinafikan EAIC juga menerima aduan mengenai salah laku pegawai Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan namun polis menerima paling banyak aduan.

"Ini disebabkan terdapat 124,000 anggota polis di seluruh negara dan mereka merupakan agensi yang sentiasa berdepan dengan orang ramai. Maka, secara logiknya mereka paling banyak diadu," katanya.
Tags / Kata Kunci: SPRM , EAIC , Datuk Yaacob Md Sam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan