Adun Tg Bungah Tak Akan Letak Jawatan, Akan Terus Jaga Kepentingan Awam

Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 5:18 PM

Teh Yee Cheu

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Adun dan ahli DAP walaupun menerima kritikan parti kerana menyokong usul Adun Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang minggu lepas.

Teh berkata sebagai seorang Adun, beliau tidak menyesal menyokong usul berhubung tebus guna tanah tersebut demi kepentingan rakyat walaupun diarah untuk memohon maaf kemudian.

Menurutnya, beliau akan terus mempertahankan kepentingan awam dalam isu  alam sekitar biarpun bertentangan dengan pendirian parti dan dikecam anggota parti parti.

"Saya sebagai seorang Adun dan seorang ahli DAP yang memegang kepada prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai setiausaha pengelola DAP Pulau Pinang untuk bertanggungjawab ke atas tindakan saya menyokong usul tersebut.

"Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang dilakukan pada sidang Dun lalu walaupun saya diarahkan untuk meminta maaf, tetapi saya tetap dengan pendirian  berhubung usul tersebut," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Pada persidangan Dun Pulau Pinang lepas, Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) telah mengemukakan usul yang mencadangkan supaya semua projek  penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.

Bagaimanapun, Teh memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan dewan undangan negeri.

Teh juga berkata beliau bersedia untuk menerima apa-apa jenis tindakan yang akan dikenakan terhadapnya berikutan tindakan beliau pada persidangan DUN lepas.

"Parti mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap saya tetapi, setakat ini, saya masih belum menerima surat tunjuk sebab atau apa-apa maklum balas  dari parti berhubung tindakan saya pada persidangan Dun lepas," katanya.

Katanya, beliau juga akan menghadiri Kongres dan Pemilihan DAP Pulau Pinang yang dijadualkan akan berlangsung esok.

"Saya akan hadir kerana saya telah dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan parti esok dan terpulangkan kepada ahli-ahli parti sama ada mereka akan menyokong saya atau tidak," katanya.

Jumaat lepas, Speaker Datuk Law Choo Kiang telah menolak usul Muhamad Farid selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.

Usul itu juga disokong anggota DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).


Lima Adun yang berkecuali ialah Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (PKR-Batu Uban).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan