Muhyiddin Pertikai Pemecatan Hamidah

Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 11:59 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan pemecatan Datuk Hamidah Osman daripada parti itu.

Menurutnya penyingkiran bekas ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng itu bertentangan dengan Perlembangaan Umno kerana tidak melalui proses yang sewajarnya.

"Adakah cara pemecatan Datuk Hamidah mematuhi kehendak Perlembagaan Umno dan prinsip 'due process of law'? Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan membela diri.

"Jika benar dakwaan Datuk Hamidah bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan Umno," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat malam.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti pada Selasa lalu membuat keputusan memecat Hamidah daripada parti.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu juga Muhyiddin menjelaskan mengenai kekeliruan yang ditimbulkan berhubung peranan dan fungsi Lembaga Disiplin Umno.

Katanya, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Majlis Tertinggi Umno pada 1998 tidak boleh dijadikan rujukan.

"Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

"Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno pada waktu itu, saya mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan.

"Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, without fear or favour, adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan keatasnya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Muhyiddin Yassin , Hamidah Osman , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan