Karnival Trak Bangsa Johor Ringankan Kos Hidup Rakyat - Khaled

Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 9:30 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Karnival Trak Bangsa Johor iaitu himpunan peniaga menjual barangan terus dari kilang tanpa melalui orang tengah, dilihat dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata melalui konsep jualan tersebut, orang ramai dapat membeli barang keperluan pada harga sehingga 40 peratus lebih murah berbanding harga biasa.

Karnival julang kali diadakan itu melibatkan sebanyak 50 pengusaha, antaranya pengendali pasar raya dan pengusaha makanan dan barangan runcit.

"Kami mengalakkan penyertaan pengusaha kilang menjual produk mereka terus kepada pengguna dengan menggunakan kenderaan," katanya ketika merasmikan Karnival Trak Bangsa Johor 2015 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, Jumaat.

Beliau berkata sekiranya projek berkenaan berjaya mencapai matlamatnya, pihaknya bersedia untuk memperluaskan konsep perniagaan sedemikian ke seluruh daerah di negeri ini.

Mohamed Khaled berkata program itu diharapkan mendapat sambutan daripada orang ramai dan usahawan, sekali gus dapat membebaskan pengguna daripada caj yang tinggi yang dikenakan oleh orang tengah.

Menyentuh mengenai Bajet 2016 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM11 juta bagi memperluaskan program pengangkutan bas percuma 'JB Di Hatiku' ke empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

"Kita berharap usaha ini dipercepatkan dan dalam proses mengenal pasti empat laluan utama berkenaan di kawasan Johor Baharu, Pasir Gudang, Johor Baharu Tengah dan Kulai," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan