Hadiah Kunjungan Ke Malaysia 'Buka Mata' Tiga Sahabat

Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 10:35 AM

Dari kiri: Cossu, Lampe dan Dietze ketika melawat Kampung Budaya Mari-Mari di Sabah.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Tiga warga Eropah yang menang hadiah lawatan ke Malaysia untuk melihat sendiri selok-belok industri minyak sawitnya mendapati bahawa keadaan di sini tidak seburuk seperti yang diperkatakan oleh pelobi anti minyak sawit di Barat.

"Saya kini boleh memberitahu rakan-rakan saya bahawa industri minyak sawit di rantau ini tidak seperti apa yang dilihat oleh sesetengah pihak," kata Stefano Cossu, seorang pereka grafik berusia 39 tahun dari Sardinia, Itali.

Cossu dan rakannya dari Jerman, Julia Dietze dan Finn Lampe, adalah pemenang peraduan dalam talian anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia di Ekspo Milano 2015.

Sejak tiba di Malaysia pada Ahad, mereka telah melawat ladang Felda di Jempol, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, selain Pusat Penjelajahan Hutan Hujan dan Kampung Budaya Mari-Mari di Sabah.

Dietze, 20, pelajar bidang psikologi berkata semasa lawatan ke ladang Felda, mereka telah ditunjukkan bagaimana tandan buah kelapa sawit segar telah dituai dan juga demonstrasi masakan menggunakan minyak sawit.

"Tetapi ada banyak lagi perkara yang perlu dipelajari," kata Dietze sambil menambah kunjungan ini telah membuka matanya dan rakan-rakan lain yang minda mereka selama ini  terdedah dengan fitnah terhadap komoditi ini .

Sahabat, Lampe, 19, memuji kerajaan yang melindungi flora dan fauna di negara ini walaupun terdapat pembangunan yang luas.

"Daripada lawatan kami ke Kuala Lumpur dan Sabah, jelas sekali alam semulajadi dilindungi," katanya.

Cossu bersetuju bahawa minyak sawit adalah sebahagian daripada ekonomi negara, sambil menambah: "Saya rasa bahawa negara dibenarkan untuk memperuntukkan bahagian tertentu tanah untuk tujuan pertanian"

Katanya peluang untuk melawat Malaysia telah membuka mindanya tentang industri minyak sawit dan dia amat berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan