Nurul Izzah Beri Keterangan Kepada Polis Pada Jumaat

Diterbitkan: Khamis, 26 November 2015 6:35 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan memberi keterangan kepada pihak polis pada Jumaat berhubung pertemuan beliau dengan Jacel H.Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu perlu memberi penjelasan berhubung petemuan tersebut kerana Jacel Kiram merupakan jurucakap kepada pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III ketika insiden pencerobohan Lahad Datu dua tahun lepas.

"Kita sudah berhubung dengan beliau (Nurul Izzah) serta peguamnya dan akhirnya bersetuju untuk hadir memberikan keterangan pada Jumaat. Kita perlu tahu apa sebab dia berada di sana.

"Ini kerana saya perlu menjawab kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa serangan oleh pihak Sulu di Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 264 pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah di Kem Pasukan Gerakan Am di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh.

Khalid berkata pihaknya akan memanggil Naib Presiden PKR, Tian Chua untukmemberi keterangan berhubung pertemuan antara Nurul Izzah, iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Jacel kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pertemuan itu.

"Kita juga tahu Tian Chua berada di sana semasa Nurul Izzah berjumpa dengan Jacel Kiram. Kita akan hubungi dia dan akan panggil dia dalam masa terdekat.  Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November semasa berada di Filipina bersama Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu. 

Sebelum ini, Nurul Izzah dilaporkan telah membuat permohonan maaf selepas gambarnya bertemu Jacel di Filipina dimuat naik di laman Facebook mendapat kritikan, manakala semalam, Tian Chua pula menafikan beliau adalah dalang dalam pertemuan itu.

Sementara itu, mengulas tindakan Nurul Izzah memfailkan saman terhadap Khalid dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara, Khalid berkata itu merupakan hak Nurul Izzah untuk memfailkan saman. -

"Dia boleh saman tetapi siasatan (mengenai pertemuan itu) tetap dijalankan," katanya.

Nurul Izzah menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Daim & Gamany dan menamakan Khalid dan Ismail Sabri sebagai defendan pertama dan kedua.   

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah mendakwa pada 22 November lepas,Khalid telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman.

Nurul Izzah mendakwa Ismail Sabri juga mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media di satu majlis di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan