Rumah Transit Untuk Bakal Ibu Orang Asli Ditemui Dalam Keadaan Menyedihkan

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 9:13 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

GUA MUSANG: Dia menjangkakan satu tempat di mana keluarganya boleh berteduh sementara menunggu kelahiran anak kedua mereka.

Tetapi apa yang berlaku amat mengejutkan petani dari suku Temiar, M. Remy, 21.

Dia mendapati pusat penempatan masyarakat yang disediakan kerajaan itu sangat kotor, terabai dan langsung tidak mementingkan aspek kesihatan.

Bau busuk Rumah Transit Kuala Bertis dapat dihidu dari jauh. Sampah berselerakan di kawasan sekitar. Tandasnya berbau busuk dan kelihatan tidak dijaga atau diselenggara oleh sesiapa dengan baik.

Tempat ini dipenuhi dengan lalat dan serangga perosak dapat dilihat menghinggapi kanak-kanak dan bakal ibu yang sedang tidur .

Kanak-kanak dan ibu-ibu mereka tidur di atas lantai sejuk, tanpa tilam dan malah ramai juga yang tidur tanpa selimut.

Tanpa katil, ada juga beberapa bakal ibu yang dilihat tidur beralaskan papan.

Mereka yang mempunyai anak kecil telah 'mengitar semula' lampin pakai buang.

Lampin yang kotor akan dibersihkan dan dibiarkan kering sebelum digunakan semula. Atas sebab-sebab tertentu, Orang Asli tidak menggunakan lampin biasa.

Sebahagian daripada mereka mendakwa tiada jururawat yang dapat memeriksa mereka.

Ketika ditemui, Remy tiba di situ dua hari lepas bersama isterinya yang sedang mengandung Nani Abu, 20, dan anak pertama mereka, Khairul Hafizi, 2, yang mempunyai penyakit sawan.

Katanya, selain hidangan tiga kali sehari, tiada apa lagi yang disediakan oleh pusat itu kepada keluarganya.

"Kami perlu tidur di atas lantai, di dewan terbuka bersama keluarga lain," kata Remy, sambil menambah terdapat kemudahan elektrik dan lampu tetapi tiada kipas.



Rumah transit itu yang terletak 200 meter dari klinik kerajaan Kuala Bertis, ditubuhkan untuk menampung dan membenarkan ibu-ibu mengandung atau mereka yang memerlukan rawatan perubatan untuk mendapatkan penjagaan kesihatan segera.

Bakal-bakal ibu Orang Asli datang ke situ dari kampung mereka beberapa hari sebelum mereka dijadualkan melahirkan anak dan tinggal di rumah transit itu sehingga kelahiran.

Nani yang datang dari Kampung Pos Belatim, adalah salah seorang daripada 11 penduduk Orang Asli yang membuat keputusan untuk 'menetap sementara' di situ yang terletak di kawasan berbukit di Gua Musang dengan harapan diberikan kemudahan yang lebih baik.

"Kami menjangkakan kemudahan yang lebih baik, tetapi kami amat kecewa," kata Remy.

Katanya, dengan menaiki kereta rakannya, mereka terpaksa berdepan halangan perjalanan untuk ke klinik kerajaan dan untuk sampai ke atas bukit itu.

Dari situ, isterinya telah dibawa ke Hospital Gua Musang dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Sehingga kini saya masih tidak dapat melihat bayi saya," katanya.



Bagi kebanyakan masyarakat orang asli yang lain, mereka perlu membonceng motosikal untuk ke klinik apabila terdapat tanda-tanda untuk bersalin. Dari klinik, mereka akan dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda untuk ke hospital.

Remy menegaskan bahawa keadaan di pusat transit di Gerik, Perak, ketika Nani bakal melahirkan anak pertama mereka adalah jauh lebih baik.

Katanya pusat transit itu terletak di dalam sebuah bangunan dua tingkat dan mempunyai katil dan bantal.

"Di sana, kami mendapat susu tepung, pakaian dan juga lampin selepas bayi dilahirkan," katanya.

Remy berkata, isterinya yang baru melahirkan anak akan dibawa kembali ke pusat transit itu selepas dibenarkan keluar dari hospital.

"Saya tidak pasti berapa lama kami perlu tinggal di sini," katanya.

Remy berkata, tandasnya juga berada dalam keadaan yang teruk dan mereka terpaksa bergilir-gilir untuk mencucinya.

Pasukan The Star turut terkejut dengan keadaan usang pusat itu yang kelihatan seperti sekolah lama atau gudang besar.

Terdapat sekurang-kurangnya 20 orang di situ, termasuk bayi yang baru lahir dan kanak-kanak, tidur di atas lantai dengan lalat pada badan mereka.

Lampin pakai buang yang dikitar semula dijemur di atas pagar.

Dapurnya dikunci dan beberapa penduduk berkata ia hanya dibuka apabila hidangan tiga kali sehari telah dihidang.

Seorang lagi Orang Asli berkata mereka hanya menerima dua kali hidangan dalam sehari dan biasanya makanan itu direbus.

Di situ juga dapat dilihat ambulan rosak dan ditinggalkan.

Seorang lelaki, dipercayai wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), yang mentadbir pusat itu dilihat tidak menggalakkan penghuni di situ bercakap dengan pasukan dari The Star.

Walau bagaimanapun, penduduk dari Kampung Penad yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dan boleh diakses oleh kenderaan pacuan empat roda, berkongsi pengalaman yang tidak menyenangkan mengenai pusat itu.

Sarinas Abut, 33, masih teringat bagaimana dia dihidangkan dengan makanan yang tidak menyelerakan ketika berada di sana sementara menunggu kelahiran anaknya dulu.

Katanya, tanpa tilam, keadaan di situ sangat tidak selesa.

"Kadang-kadang ada jururawat, kadang-kadang tidak ada," katanya.

Sarinas berkata dia terpaksa berjalan kaki untuk ke klinik di atas bukit ketika hendak bersalin sebelum dibawa ke hospital di Gua Musang.

Suri rumah, Midah Angah juga masih ingat bagaimana dia tidur di atas lantai yang sejuk dan keadaan tandasnya yang teruk.

"Saya juga berada di sana selepas bersalin dan tidak ada tuala wanita.

"JHEOA sepatutnya menjaga kita," katanya.

Wakil Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Nasir Dollah gembira melihat media mengunjungi pusat itu.

"Kami telah banyak kali menyuarakan masalah kami tetapi tetap diabaikan. Saya berharap nasib kami akan didedahkan kepada rakyat di luar sana.

"Orang Asli telah dipinggirkan dan pihak berkuasa tidak melihat apa-apa kepentingan dalam masalah kita.

"Saya harap perkara ini akan berubah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan