Portal Berita Langkau Etika Kewartawanan - Rahman Dahlan

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 4:15 PM

Datuk Abdul Rahman Dahlan

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan menyaman sebuah portal dalam talian yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya, menyebabkan beliau dicemuh dan dikritik di media sosial.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini, dengan mendakwa portal ini telah melampaui etika kewartawanan yang munasabah dalam laporannya dan telah merosakkan nama baik beliau.

"Saya bersetuju bahawa media termasuk portal dalam talian, adalah sebuah institusi 'semak dan imbang'. Mereka bertanggungjawab untuk melaporkan secara telus. Mereka boleh mengkritik tetapi ia perlu dilakukan secara membina dan untuk kebaikan semua orang," katanya.

Abdul Rahman berkata pada Hari Perancangan Bandar Sedunia pada 3 November, beliau telah menyentuh mengenai bagaimana bandar-bandar mampu berdaya tahan dalam menghadapi tekanan sosial dan ekonomi, seperti pencemaran, pengangkutan awam, kos sara hidup, rumah mampu milik dan keselamatan makanan.

Beliau kemudiannya ditanya pemberita mengenai kenaikan tol dan migrasi dari bandar ke kawasan luar bandar kerana kos sara hidup yang tinggi.

"Mengenai isu tol, saya menegaskan bahawa di mana-mana jalan yang mempunyai tol, akan ada laluan alternatif yang bebas tol. Saya berkata bahawa jika kita mengambil jalan alternatif, kita akan berdepan kelewatan disebabkan kesesakan lalu lintas dan terpaksa berhenti di lampu isyarat banyak. Oleh itu, kita perlu melabur masa untuk sampai ke destinasi.

"Malangnya, jawapan saya kepada media telah disalah anggap. Orang ramai berpendapat bahawa saya telah meminta mereka bangun awal jika mereka enggan bayar tol. Oleh itu, saya menjadi sasaran kritikan dan kemarahan orang ramai terutamanya di kalangan pengguna internet," kata menteri itu.

Abdul Rahman berkata beliau tidak pernah membuat cadangan seperti itu tetapi berkata sekiranya orang ramai memilih untuk berulang alik dengan jalan bebas tol mereka perlu melabur lebih banyak masa, termasuk perlu bangun awal, atau bangun pada waktu biasa tetapi memulakan perjalanan mereka lebih awal.

Mengenai isu migrasi, menteri itu berkata mengenai pandangan beliau bahawa penghijrahan dari luar bandar ke bandar-bandar berlaku begitu pantas dan meletakkan tekanan ke atas sistem perbandaran seperti perumahan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan di seluruh dunia menyokong konsep 'reverse migration', sambil menambah beliau juga telah menunjukkan bahawa kehidupan di kawasan luar bandar atau kampung-kampung menjadi bertambah baik.

"Malangnya, Malaysiakini memilih untuk memuat naik video voxpop mengandungi kandungan kenyataan saya mengenai 'reverse migration' yang telah disunting. Ia menggambarkan saya sebagai tidak sensitif dan menjadi jenaka dalam media sosial untuk menghina saya.

"Hasilnya saya sekali lagi menjadi mangsa ejekan awam yang tidak menerima maklumat lengkap daripada Malaysiakini. Walaupun media dalam talian dekat di hati saya, apa yang Malaysiakini telah dilakukan adalah di luar etika kewartawanan yang munasabah dan merosakkan reputasi saya," katanya.

Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini, sambil menambah ini harus menjadi peringatan kepada media dalam talian untuk profesional, tidak berkompromi tentang fakta dan bukan untuk menghina sesiapa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan