Penjualan Edra Tak Jejas Industri Tenaga Negara - Ongkili

Diterbitkan: Selasa, 24 November 2015 9:49 PM

Maximus Ongkili

Maximus Ongkili.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Selasa menegaskan keputusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual anak syarikatnya, Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN Group) tidak akan menjejaskan industri tenaga negara.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili memberitahu persidangan Dewan Rakyat, bahawa pelepasan 100 peratus ekuiti kepada syarikat milik kerajaan China itu hanya melibatkan 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penjanaan tenaga bagi negara ini.

"Kerajaan telah bersetuju dengan pelepasan ekuiti itu memandangkan ia merupakan sebahagian daripada transformasi sektor tenaga negara. 

"Kita berasakan semuanya terjamin kerana ia (penjualan) hanya membabitkan sebanyak 14 peratus (daripada jumlah penjanaan tenaga)... kita masih ada lagi kira-kira 50 peratus penghasilan tenaga negara di bawah Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan 20 peratus daripada Malakoff," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (DAP-Bayan Baru) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Pembekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu. 

Jelas Ongkili, kerajaan masih mengawal aset strategik negara yang dilepaskan itu menerusi undang-undang dan pengeluaran lesen penghasilan tenaga elektrik kepada pengguna di negara ini.

Pada Isnin, 1MDB menerusi anak syarikatnya Edra Global Energy Bhd, memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group melibatkan penjualan 100 peratus kepentingannya dalam semua aset tenaganya yang bernilai RM9.83 bilion, menjadikannya perjanjian gabungan dan pembelian terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Ia membabitkan penjualan syarikat operasi Edra yang terdiri daripada Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan