SPRM Tubuh Majlis Eksekutif Sekretariat Pencegahan Rasuah DI IPT

Diterbitkan: Selasa, 24 November 2015 12:06 PM

Mustafar Ali
(Ubah saiz teks)

LENGGONG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan Majlis Eksekutif Sekretariat Pencegahan Rasuah (MESPR) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bermula tahun depan, untuk meningkatkan kesedaran kalangan generasi muda agar tidak terjebak dengan gejala rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata penubuhan MESPR merupakan pendekatan yang memberi penekanan terhadap usaha penerapan nilai anti rasuah di kalangan mahasiswa.

"Secara khususnya, struktur mekanisme MESPR ialah di setiap IPT mempunyai wakil daripada SPRM dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kita akan mengemukakan cadangan iaitu ketua sekretariat di semua IPT secara automatik akan mewakili universiti itu dalam MPP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Malam Gala Kemuncak bersempena Majlis Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah kali ke-5 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini malam Isnin.

Mustafar berkata pendekatan menerusi pendidikan merupakan cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran tentang bahaya amalan rasuah kepada generasi muda supaya membenci rasuah dan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah serta ikhlas.

Katanya pihak SPRM akan mengadakan pelbagai program sebagai inisiatif meningkatkan pengetahuan mahasiswa mengenai jenayah rasuah dan berharap menerusi penyertaan mereka dalam sekretariat itu sebagai penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong Wan Sabri Wan Ismail.

Tags / Kata Kunci: SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan