Polis Nafi Tanah Runtuh Sekali Lagi Di Karak

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 12:08 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menafikan berlaku runtuhan sekali lagi di kawasan tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Lentang-Bukit Tinggi seperti dilaporkan di media sosial pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata kesesakan trafik yang teruk dari Km53 hingga Km52.4 di lebuh raya itu adalah kerana hanya satu lorong sahaja dibuka berikutan kerja membaik pulih di situ.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini bagi mengulas dakwaan dalam aplikasi whatsapp yang diviralkan kononnya berlaku tanah runtuh di kawasan itu hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dari Bentong menghala ke Kuala Lumpur hari ini.

"Anih Berhad sedang usahakan untuk buka lorong kontra dari Km55 hingga Km50) sekejap lagi untuk lancarkan laluan dari Bentong ke Kuala Lumpur," katanya.

Anih Berhad dalam kenyataan media semalam memaklumkan satu lorong di Km52.4 ditutup kepada lalu lintas sejak 16 Nov bagi membolehkan kerja pembaikan dan pencegahan di kawasan terbabit dijalankan.

Menurut kenyataan itu, dengan pertambahan trafik sempena cuti sekolah yang bermula Jumaat, pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur dinasihatkan berhati-hati melalui kawasan berkenaan dan mematuhi papan tanda arahan yang disediakan.

Pada 11 Nov lepas, satu kejadian tanah runtuh di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi berlaku pada pukul 6.30 petang menyebabkan kedua-dua arah lebuh raya itu tidak boleh dilalui.

Dalam insiden itu, tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas tetapi kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan