Nurul Izzah Kesal Gambar Bersama 'Puteri' Sulu Singgung Rakyat Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 21 November 2015 8:13 PM

Nurul Izzah (kiri) bersama Jacel Kiram.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung lawatannya ke Manila yang mencetuskan kontroversi, dengan menyedari gambarnya bersama 'Puteri' Sulu, Jacel Kiram telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau menyedari terdapat laporan polis terhadapnya berikutan pertemuan bersama Jacel pada 9 November lalu.

"Tiada apa yang hendak saya sembunyikan dan saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai lawatan saya," kata Nurul Izzah dalam satu pesanan teks kepada The Star Online.

"Saya memahami keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu ketika pencerobohan, ahli keluarga Sabah yang terkesan termasuk rakyat Malaysia secara umumnya terkilan dengan gambar saya bersama Jacel Kiram dan untuk itu saya amat kesal," katanya.

"Simpati dan sokongan saya sentiasa terhadap wira-wira negara, mangsa pencerobohan dan masyarakat yang terkesan akibat daripada konflik berterusan dan tuntutan pihak pemisah," katanya.

Nurul Izzah berkata, beliau berkunjung ke Filipina pada 9 November lalu bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang merupakan sebahagian daripada delegasi parti mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan politik di negara itu.

Beliau berkata, kunjungan itu dianjurkan oleh Majlis Hal Ehwal Filipina, Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat naib presiden Filipina.

Bagaimanapun Nurul Izzah berkata, beliau tidak merancang untuk mengadakan sebarang pertemuan dengan Jacel dan belum pernah bertemu dengan wanita itu sebelum ini.

"Sebaliknya, dia (Jacel) merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput oleh penganjur," katanya.

"Semua yang hadir pada pertemuan itu mengambil gambar bersama saya sebagai sokongan terhadap satu kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesak ketua umum PKR itu dibebaskan," kata Nurul Izzah.

Selain Jacel, hadir pada pertemuan itu adalah bekas gabenor dan ahli kongres Batangas Hermilando Mandanas, ahli kongres Regina Reyes dan Silvestre Bello, Dekan Undang-undang, Amading Valdez, bekas ahli kabinet Romy Nery dan bekas Setiausaha Kehakiman Wencie Andanar serta ahli kakitangan naib presiden Filipina dan Datuk Bandar Manila.

Gambar-gambar Nurul Izzah bersama Jacel mencetuskan kontroversi, dengan ahli-ahli Parlimen dan rakyat menuntut beliau memberikan penjelasan.

Jacel merupakan anak kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Allahyarham Jamalul Kiram III sebelum ini pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013.

Tags / Kata Kunci: Nurul Izzah Anwar , Jacel Kiram

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan