Najib, Obama Adakan Rundingan Dua Hala

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 8:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hanya beberapa jam selepas tiba di sini daripada menghadiri Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Manila, Presiden Amerika Barack Obama mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat.

Rundingan kedua-dua pemimpin itu berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, venue utama Sidang Kemuncak Asean ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan ketika Malaysia menjadi pengerusi Asean 2015.

Selain Obama, beberapa pemimpin dunia lain juga telah tiba di ibu negara untuk menghadiri sidang kemuncak itu.

Mereka termasuk Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, Presiden Korea Selatan Park Geun-hye dan Presiden Myanmar U Thein Sein.

Ini adalah kunjungan kedua Obama ke Malaysia dalam masa dua tahun.

Presiden Amerika itu, yang tiba di sini setelah menghadiri sidang kemuncak penting di Turki dan Filipina, akan menyertai Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat ketiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10.

Obama melakukan lawatan negara ke Malaysia pada April tahun lepas dan merupakan presiden pertama negara itu yang melawat Malaysia selepas Presiden Lyndon B. Johnson berbuat demikian pada 1966.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Barack Obama , Asean

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan