Nurul Izzah Perlu Minta Maaf Kepada Rakyat Sabah, Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 7:05 AM

Nurul Izzah Anwar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutama di Sabah berikutan tindakannya mengadakan pertemuan dengan Jacel H. Kiram, yang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai tidak boleh memberi sebarang alasan kerana tiada satu alasan pun boleh 'menghalalkan' perbuatan itu.

"Untuk Nurul Izzah bertemu dan bermesra dengan individu yang secara terbuka menyokong pencerobohan bersenjata di Sabah adalah sesuatu yang tak boleh diterima," kata Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam satu kenyataan pada Khamis.

Gambar mengenai pertemuan itu di Filipina telah dimuat naik oleh Jacel dalam akaun Facebook beliau pada 9 November lepas.

Abdul Rahman berkata walau apa pun alasannya untuk bertemu Jacel, yang merupakan anak perempuan kepada Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan itu, Nurul Izzah tidak sepatutnya berjumpa dengan musuh negara yang sudah membuat deklarasi terbuka menyokong serangan bersenjata terhadap Sabah.

"Kita semua tahu Jacel Kiram secara terang-terangan menyokong pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Sabah. Kenapa pula YB Nurul Izzah sanggup bertemu dengan Jacel Kiram? Ini satu kesilapan besar," katanya.

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata Nurul Izzah boleh berjumpa sesiapa sahaja yang beliau suka di Filipina kerana itu haknya, tetapi pertemuan dengan Jacel tidak boleh diterima.

"Bayangkan perasaan orang Sabah terutamanya perasaan keluarga anggota keselamatan yang dibunuh dengan kejam oleh pengganas dalam insiden pencerobohan bersenjata itu," katanya.

Abdul Rahman turut mengingatkan Nurul Izzah bahawa penyokong-penyokong Jacel sehingga kini masih mencari cara untuk menawan Sabah termasuk melalui pencerobohan bersenjata.

"Lagi cepat YB Nurul Izzah memohon maaf, lebih baik. Kalau tidak, jangan salahkan kerajaan negeri Sabah jika pada masa hadapan kerajaan negeri tidak membenarkan YB Nurul Izzah melawat Sabah," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang mengkaji dan meneliti untuk merujuk Anggota Parlimen Lembah Pantai itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Bagaimana mungkin seseorang Anggota Parlimen sanggup berjumpa dengan jurucakap kumpulan pengganas yang menceroboh negara kita, malahan memegang poster yang mempunyai perkataan FILIPINO FRIENDS?.

"Apakah motif di sebalik perjumpaan dengan jurucakap kumpulan pengganas ini? Bagi saya, perjumpaan ini seolah-olah menjemput campur tangan anasir luar dalam urusan dalaman negara kita dan beliau juga telah mengingkari lafaz sumpah sebagai seorang Anggota Parlimen," katanya.

Beliau berkata tindakan Nurul Izzah itu amat mendukacitakan dan bertentangan dengan lafaz sumpah seorang Anggota Parlimen untuk taat setia kepada tanah air.

Azalina berkata sebagai Anggota Parlimen, Nurul Izzah seharusnya tahu akan tanggungjawab beliau terutamanya dalam soal kedaulatan negara yang tidak boleh dikompromi.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina menceroboh dan memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam kenyataannya pada Khamis mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November semasa berada di Filipina bersama-sama dengan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan