Air Pasang Besar Dijangka Burukkan Situasi Banjir Di K.Selangor

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 10:28 PM

Kanak-kanak berkesempatan bermain air Bah di halaman rumah mereka di Kampung Bukit Hijau Jeram, Kuala Selangor, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Air pasang besar di perairan Kuala Selangor yang dijangka pada Selasa depan ditambah dengan kadar hujan yang tinggi dijangka memburukkan lagi situasi banjir di daerah ini.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan supaya semua parit dan tali air dibersih dan diselenggara bagi memastikan aliran keluar air lancar.

"Kami turut menjangkakan cuaca hujan lebat sebegini akan berterusan buat beberapa ketika," kata pengerusinya Zaidy Abdul Talib berkata pada sidang media di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di sini petang ini.

Beliau berkata pemaju perumahan di sekitar daerah ini telah diarah memastikan keadaan parit di kawasan tapak pembinaan masing-masing diselenggara dengan betul.

Zaidi juga menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan kawasan masing-masing kerana banjir kilat terjadi disebabkan parit tersumbat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor berkata sehingga petang ini seramai 163 mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Buat masa ini seramai 950 mangsa banjir daripada 212 keluarga masih lagi berada di lima buah pusat penempatan di daerah ini," katanya.

Pada Rabu, Majlis Keselamatan Negara mengisytiharkan banjir di daerah itu pada tahap satu berikutan mangsa banjir yang terlibat melebihi 400 orang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan