Nama Beberapa Pemimpin Dalam Senarai Culik IS

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 10:05 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota militan Negara Islam (IS) telah merancang untuk menculik beberapa pemimpin tertinggi Malaysia bagi menuntut pembebasan militan yang ditahan di sini.

Menurut perisikan Malaysia, dua tentera sel IS yang telah ditahan dan didakwa pada awal tahun ini, telah membentuk satu pelan terperinci untuk membawa pemimpin-pemimpin yang diculik ke tempat terpencil di Lembah Klang.

Mereka akan merakamkam tangkapan mereka dengan video. Selepas meminta supaya rakan-rakan mereka dibebaskan, mereka akan mengenal pasti tempat yang selamat untuk mengadakan pertukaran.

Rangkaian pengganas tidak akan meminta wang tebusan, hanya mahu rakan-rakan mereka yang ditahan dibebaskan, dedah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

"IS hanya mahu menjamin kebebasan rakan-rakan militan mereka di Penjara Sungai Buloh. Mereka tidak membuat apa-apa tuntutan wang tebusan," katanya kepada The Star.

Ayob berkata IS merancang untuk menggunakan pertukaran tangkapan itu sebagai satu bentuk propaganda untuk 'mempromosikan' rangkaiannya.

Beliau menyifatkan ancaman IS di Malaysia sebagai 'benar', memandangkan doktrin terkini IS menekankan ahli-ahlinya untuk melancarkan serangan di negara asal mereka.

Ayob memberi amaran bahawa keadaan di Asia Tenggara boleh bertukar kepada keganasan jika pensyarah yang kini menjadi militan, Dr Mahmud Ahmad mempunyai caranya sendiri dalam membentuk blok IS serantau.

"Keutamaan kami adalah untuk menghentikannya daripada meneruskan matlamatnya untuk pergi ke Syria dan mengangkat sumpah taat setia di hadapan supremo IS Abu Bakr al-Baghdadi," katanya.

Beliau berkata polis telah mengetatkan pengawasan dan keselamatan di semua pintu masuk utama, terutamanya lapangan terbang, untuk mengelakkan mana-mana militan dapat memasuki Syria.

Mengenai serangan pengganas di Paris, beliau berkata tidak ada rekod yang menunjukkan salah seorang penyerangnya telah transit di Malaysia.

"Kami telah memeriksa nama pada pasport yang ditemui di tempat kejadian serangan di Paris dan mendapati tiada rekod," katanya.

Bukit Aman kini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan pengganas di Paris pada Jumaat.

IS telah mendakwa bertanggungjawab bagi pembunuhan beramai-ramai itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 129 orang.

Persiapan untuk Sidang Kemuncak Asean di sini minggu ini juga sedang dikaji semula dan aturan keselamatan diperketatkan.

Pada Ahad, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beberapa pemimpin Malaysia, termasuk dirinya sendiri, telah berada di dalam senarai ancaman IS.

Beliau berkata maklumat mengenai ancaman IS yang dimaklumkan sebelum Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengadakan mesyuarat bersama di Langkawi pada Mac.
Tags / Kata Kunci: pemimpin negara , IS , pengganas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan