Penapisan Filem: Kerajaan Enggan Ubah Fikiran Untuk 'Tidak Berfikiran Sempit'

Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 11:52 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan terus konsisten dalam memastikan filem-filem di negara ini dihasilkan mengikut prosedur dan tidak melanggar Akta Penapisan Filem yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat berkata walaupun terdapat beberapa pandangan dan kritikan terhadap Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mahukan badan itu lebih terbuka, namun pihaknya akan tetap menggunakan garis panduan sedia ada.

"Kerajaan ada LPF dan panduan-panduannya...memang ada seorang menteri beri pandangan (LPF perlu lebih terbuka).

"Kita ikut apa yang ditetapkan, tidak mungkin kita ubah fikiran. Di LPF kita ada pengerusi dan ahli-ahli yang bertindak seperti apa yang tertakluk di bawah Akta Filem 2002," katanya kepada Dewan Rakyat menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas- Pasir Mas).

Nik Mohamad Abduh dalam soalan tambahannya bertanya mengenai pendirian kementerian terhadap kenyataan ‘seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri’ pada Ogos lalu yang mengeluarkan kenyataan supaya LPF tidak berfikiran sempit dalam menetapkan prosedur bagi membolehkan pembikin filem dalam negara terus berkarya.

Katanya, tindakan kerajaan Malaysia menapis filem-filem terutama dari luar negara sebelum ditayangkan amat disokong, tetapi kenyataan oleh menteri berkenaan yang dilihat ditujukan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said itu dibimbangi akan mempengaruhi pendirian kerajaan.

Mengulas lanjut Masir berkata kerajaan kekal dengan empat fokus utama ditetapkan LPF dalam membuat penapisan sesebuah filem iaitu aspek kententeraman awam dan keselamatan, sosial budaya, keagamaan, kesopanan dan kesusilaan.

Malah katanya, setiap filem akan diklasifikasikan mengikut kesesuaian umur penonton dengan melabelkan U, P13, dan P18.

"Selain LPF , penapisan filem diawasi jawatankuasa rayuan filem (JKRF) yang ditubuhkan bawah Seksyen 21 Akta Penapisan filem 2002 dan berperanan menimbang semula keputusan LPF sekiranya ada rayuan daripada pihak pembikin filem," katanya.

Julai lalu, Azalina menefur LPF agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.

Azalina yang sebelum ini Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata, isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton.

"Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di televisyen adalah sebuah lakonan.

"Kalau nak cakap babak-babak itu (berpelukan) boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen, (kerana) di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat," katanya.

Tags / Kata Kunci: Dewan Rakyat , LPF , Filem , Masir Kujat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan