Wei Wei, Ping Ping, Yogi, Coki - Pengunjung Cadang Nama Anak Panda

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 4:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wei Wei, Ping Ping, Yogi dan Coki antara nama yang dicadangkan pengunjung yang teruja melihat anak panda gergasi yang hampir berusia tiga bulan itu.

Sejak dilahirkan pada 18 Ogos lalu, anak panda gergasi itu sentiasa mendapat perhatian ramai pengunjung Zoo Negara.

Tinjauan mStar Online ke Pusat Konservasi Panda Gergasi itu, mendapati pengunjung nyata teruja untuk menamakan anak panda gergasi menerusi peraduan yang akan bermula tidak lama lagi.

Pengurus Pemasaran di ibu negara, Leong Yoke Ming, 39 ketika ditemui mencadangkan beberapa nama yang bersesuaian untuk anak panda gergasi itu.

"Wei Wei dan Ping Ping mungkin sesuai digunakan dan nama ini ada maksud yang baik.

"Ping Ping bermaksud bernilai murni manakala Wei Wei bermaksud kecil," katanya ketika ditemui, di sini pada Ahad.

Seorang kanak-kanak, Muhammad Amirul Wafi Kamarulzaman, 9, turut tidak mahu melepaskan peluang menamakan anak panda itu.

"Saya nak letak nama Yogi kerana kartun itu sangat terkenal dan comel," ujarnya.

Jelasnya, nama Yogi dipilih berdasarkan watak kartun Yogi Bear yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak.

Suri rumah, Juwita Abdul Karim, 34, jelas teruja untuk menyertai peraduan ini.

"Apa yang penting ialah nama yang mudah untuk dipanggil dan senang diingat. Saya mahu menamakan Coki sebab senang nak panggil.

"Saya harap peraduan ini dapat dipercepatkan supaya orang ramai boleh turut sertai untuk menamakan anak panda pertama yang lahir di Malaysia ini," katanya.

Beberapa nama turut diberikan oleh orang ramai seperti Li po (Hang Li Po), Piao Liang (cantik), Mei Mei (adik) dan pelbagai lagi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi sebelum ini menjemput orang ramai untuk mengemukakan idea dan menyertai peraduan menamakan anak panda yang akan bermula tidak lama lagi.

Tambahnya lagi, nama yang diberikan mestilah mengikut sensitiviti China dan kementeriannya akan mendapatkan persetujuan dari negara itu setelah nama anak panda itu dipilih.

Katanya, butiran dan syarat peraduan akan dibuka selama dua bulan dan akan diumumkan melalui laman web kementeriannya.

Tags / Kata Kunci: anak panda , Zoo Negara , Wei Wei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan