Sidang Kemuncak G20 Bermula Dengan Tumpuan Cabaran Ekonomi Global

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 11:49 PM

(Ubah saiz teks)

ANTALYA (Turki): Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 bermula Ahad dengan tumpuan utama kepada pertumbuhan global dan jangkaan para pemimpin akan memberi respons kepada isu-isu berkaitan dengan keganasan dan krisis pelarian.

Dengan ketegangan pasaran kewangan sekarang dan kelembapan ekonomi pasaran sedang pesat membangun, Sidang Kemuncak itu dijangka menumpukan kepada cabaran ekonomi global dan mengemas kini strategi pertumbuhannya.

Sidang kemuncak itu bermula dengan majlis meraikan para pemimpin dunia pada tengah hari, antaranya, Presiden AS Barack Obama, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga diraikan oleh hos sidang kemuncak, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, di Regnum Carya Hotel, yang merupakan venue sidang kemuncak itu.

Najib, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Turki sejak 13 Nov, menghadiri Sidang Kemuncak itu selaku Pengerusi ASEAN.

Difahamkan bahawa semua pemimpin G20 menghadiri Sidang Kemuncak itu kecuali Presiden Perancis Francois Hollande ekoran tragedi malang di Paris dan Presiden Argentina Cristina Fernandez de Kirchner berikutan pilihan raya di negaranya.

Azerbaijan, Sepanyol, Malaysia, Senegal, Singapura dan Zimbabwe dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Antalya Summit bersama dengan anggota G20.
Dianggarkan 13,000 tetamu termasuk 2,469 anggota media menyertai Sidang Kemuncak selama dua hari itu.

G20 merupakan forum perdana bagi kerjasama ekonomi dan kewangan global yang menghimpunkan bersama ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi maju dunia, yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada keluaran dalam negara global.

Sidang Kemuncak itu mengumpulkan negara-negara individu - Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turki, UK, AS dan Kesatuan Eropah.

G20 menyasar memuktamadkan Sidang Kemuncak itu dengan hasil praktikal bagi bahagian keutamaan seperti pembangunan, perubahan iklim, perdagangan, pertumbuhan dan alam sekitar.

Selepas majlis meraikan para pemimpin, mereka kemudiannya akan meneruskan sesi perbincangan pada tengah hari mengenai pembangunan dan perubahan iklim, disusuli sesi kerja seterusnya mengenai pertumbuhan inklusif yang akan membincangkan tentang ekonomi global, strategi pertumbuhan, pekerjaan dan strategi pelaburan.

Sesi kerja seterusnya pada malamnya menyentuh mengenai cabaran global berkaitan keganasan dan krisis pelarian yang akan diadakan selepas majlis resepsi dan persembahan kebudayaan yang dihoskan oleh Perdana Menteri Turki Dr Ahmet Davutoglu dan isteri.

Sidang Kemuncak Antalya didahului oleh Sidang Kemuncak G20 di Brisbane, Australia pada 2014 yang menyaksikan para pemimpin menerima pakai Pelan Tindakan Brisbane, yang bertujuan untuk meningkatkan potensi pertumbuhan dunia sebanyak dua peratus dalam tempoh lima tahun. 

Ini dijangka menambah US$2 trilion kepada pengeluaran dunia dengan kira-kira 1,100 langkah yang diusulkan oleh kerajaan anggota G20.
Tags / Kata Kunci: G20 , ekonomi global

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan