Tindakan Terhadap Nik Nazmi Diperlukan Untuk Keputusan Akhir Mengenai APA - Apandi

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2015 9:51 AM

Mohamed Apandi Ali.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa buat kali ketiga mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan pendakwaan terhadap Ketua Pemuda Parti Keadikan Rakyat (PKR) itu bukan bersifat peribadi.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider, Apandi berkata Nik Nazmi didakwa buat kali ketiga bagi membenarkan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan akhir berhubung undang-undang tersebut yang memerlukan penganjur perhimpunan memberikan notis 10 hari kepada polis.

"Saya mahu kepastian daripada mahkamah tertinggi dalam negara, dan ini demi kebaikan semua orang.

“Jika ia membabitkan pentadbiran keadilan jenayah, apabila mahkamah tertinggi memutuskannya, ia adalah undang-undang. Sama ada anda setuju atau tidak, (ia) tidak membuat sebarang perbezaan," kata Apandi kepada portal berita itu.

Keputusan akhir oleh Mahkamah Persekutuan sangat penting ketika wujudnya konflik keputusan dibuat Mahkamah Rayuan berkaitan APA.

"Mahkamah Persekutuan seperti yang anda tahu adalah mahkamah tertinggi. Ia akan membuat keputusan akhir. Itulah tujuannya," kata beliau.

Ketika ditanya mengenai APA, Apandi berkata Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan undang-undang itu mengikut Perlembagaan adalah sah, dan beliau percaya kebebasan perhimpunan tidak mutlak.

Sementara itu, Apandi juga mempertahankan kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, berkata dakwaan ia disalah guna untuk menyekat kritikan hanya berdasarkan kepada “persepsi”.

“Begitulah selalunya persepsinya. Apabila sesiapa, sama ada pembangkang atau individu yang mengkritik kerajaan didakwa, mereka kata mereka didakwa kerana kritik kerajaan.

“Selagi saya peguam negara, saya tidak lihat sesiapa atau mengkategorikan orang sebagai pengkritik, bukan pengkritik, rakyat biasa atau apa saja. Mereka semua sama. Anda buat jenayah, anda kena,” katanya.

Apandi berkata beliau melihat Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang, yang kedua-duanya ditahan di bawah akta itu, sebagai “pesalah, mengikut undang-undang”, dan bukan “pengkritik kerajaan”.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan dan peguamnya itu didakwa pada 12 Oktober atas kesalahan cubaan mensabotaj ekonomi Malaysia dan sistem perbankan dan kewangan negara.

“Dalam kenyataan akhbar saya, saya sudah jelaskan satu persatu mengapa kita kategorikan ia sebagai menjejaskan sistem perbankan dan kewangan.

“Itu adalah sebabnya, dan semuanya mengikut undang-undang,” kata Apandi.

Dalam temubual itu juga, Apandi akan mencadangkan kepada Kabinet hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Beliau berkata hukuman mati mandatori adalah "paradoks", kerana ia merampas daripada hakim hak menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman ke atas penjenayah yang disabitkan kesalahan.

"Jika saya dibenarkan ikut cara saya, saya akan memperkenalkan opsyen untuk hakim dalam kes di mana ia melibatkan hukuman mati. Beri pilihan kepada hakim sama ada untuk menggantung atau menghantar dia ke penjara.

"Bukan untuk mengatakan saya menyokong sepenuhnya penghapusan hukuman mati, tetapi sekurang-kurangnya kita lakukan secara berperingkat. Kami ambil langkah demi langkah," katanya.

Hukuman mati mandatori dikenakan di Malaysia dalam kes-kes melibatkan pembunuhan, kesalahan senjata api tertentu, pengedaran dadah dan penderhakaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan