Tanah Runtuh: Hanya Kementerian Kerja Raya Salur Maklumat

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2015 10:20 PM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) meninjau lokasi kejadian banjir lumpur di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Jumaat. Banjir lumpur itu telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang Rabu lalu, menyebabkan sebahagian lebuh raya berkenaan dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Mesyuarat Kabinet pada Jumaat memutuskan hanya Kementerian Kerja Raya (KKR) sahaja yang akan mengeluarkan sebarang kenyataan dan perkembangan terkini berhubung kejadian banjir lumpur di KM 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan tiada spekulasi atau sebarang maklumat yang tidak benar disebarkan oleh pihak tertentu berhubung kejadian itu.

Jurucakap dari kementerian itu akan diumumkan oleh menteri berkenaan Datuk Seri Fadillah Yusof dan jurucakap itu akan mengumumkan mengenai perkembangan terkini banjir lumpur termasuklah pembaikan dan pembukaan lebuh raya itu, katanya.

Liow, yang juga Anggota Parlimen Bentong, berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan kerja-kerja pembersihan di lebuh raya itu hari ini.

Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang Rabu lepas menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui.

Hanya tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di dalam kejadian itu. Kesemua pemandu dan penumpang selamat.

Liow berkata beliau amat mengambil berat terhadap kebajikan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.

"Di kawasan ini, terdapat lebih kurang 15 keluarga di Lentang dan 15 lagi keluarga Orang Asli di Sungai Miak yang terjejas, telah mendapat bantuan makanan, keperluan asas dan tempat tinggal sementara.

"Saya juga akan memastikan kebajikan mereka terjaga selain menunggu penempatan baharu mereka disediakan secepat mungkin," katanya.

Liow juga meminta agar proses pembersihan kawasan terjejas disegerakan.

"Pembukaan lebuh raya itu akan diserahkan kepada jurucakap KKR dan pengumuman akan dibuat dari semasa ke semasa.

"Saya diberi maklumat bahawa kerja pembersihan dijangka siap sehari dua ini tetapi perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta Jabatan Pengairan dan Saliran sebelum lebuh raya itu dibuka semula," katanya.

Selain itu, Liow berkata pasukan pakar cerun telah dihantar untuk menyiasat punca sebenar kejadian banjir lumpur di lebuh raya berkenaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya kerana telah menstabilkan keadaan cerun di jalan lama Bentong.


"Jalan itu dibuka kepada orang ramai pada siang hari sahaja, manakala pada waktu malam ditutup atas faktor keselamatan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan