Moden, Tradisional Ala Floor 88 Pikat Syarikat Rakaman AS

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2015 8:00 AM

floor88

Sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Floor 88 memperjuangkan muzik gabungan elemen moden dan tradisional.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Adunan kreatif instrumen muzik moden dan tradisional yang diperjuangkan oleh sekumpulan anak muda tempatan berjaya menambat hati ramai penggiat seni antarabangsa. 

Bakat mereka turut diintai oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Anak muda yang menggelarkan diri Floor 88 ini menyerlahkan bakat sewaktu menyertai pertandingan muzik ‘Asean Be Our Rock and Pop, Soul Music’ 2015 di Saigon, Vietnam pada September lalu.

Percubaan pertama mereka di luar negara membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai kategori berkumpulan dalam pertandingan itu.

Hanya bergerak secara indie ketika ini, kumpulan Floor 88 dianggotai Muhammad Shahrul Nizam, 20, sebagai vokalis, Zai Hamzah, 24, (gitar), Muhammad Akram Kadir, 25, (dram), Lukman Hakim Ahmad Azam, 21, (gambus), Amirul Affeq Mohd Fua’ad, 24, (gitar), Hairil Hazlan Norhamizin, 25, (caklempong), Noor Yasmin Mohd Redzuan Devan, 20, (keyboard) dan Muhammad Falikh Ghazali, 27, (bass).

Zai Hamzah berkata, lagu hasil ciptaan mereka berjudul ‘The Promise’ yang menggabungkan elemen muzik moden dan tradisional membawa tuah.

“Kami bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini. Tak sangka dapat memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa sedangkan kami hanya bergerak secara indie.

“Kami berhasrat memperkenalkan konsep muzik yang diketengahkan dengan menggabungkan elemen moden dan tradisional di dalam lagu bagi memberi nafas baharu buat pencinta seni terutama golongan muda,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah selepas membuat persembahan pada Malam Integriti Seni anjuran Institut Integriti Malaysia yang bertemakan ‘Integriti: Tradisi Berevolusi’, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai nama kumpulan, Zai berkata, Floor 88 bermaksud 88 tingkat Menara Kembar Petronas Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur City Center (KLCC).

Seperti mercu tanda negara itu, beliau berkata, Floor 88 mahu berjaya dan mengharumkan nama negara di mata dunia, yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia malah masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia sehingga kini.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2007 ini pada awalnya terdiri daripada empat anggota iaitu Zai, Amir, Falikh dan Akram sebelum ditambah empat lagi tahun ini bagi meneruskan perjuangan membawa lagu-lagu yang digubah dengan menerapkan instrumen moden serta tradisional.

“Penerapan elemen tradisional dalam lagu moden merupakan kelainan dan keunikan yang cuba ditampilkan oleh Floor 88 bagi memberikan impak yang lebih segar buat orang ramai terutama generasi muda.

“Macam ramai anak-anak muda menyukai lagu-lagu pop, jadi kenapa tidak kita campurkannya dengan elemen muzik tradisional. Muzik kami bukan sahaja untuk memberi kelainan dalam industri seni tempatan malah dapat menarik perhatian di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Pada masa ini, katanya, instrumen tradisional yang digunakan ialah caklempong dan gambus, yang diadun dengan gitar, dram dan keyboard.

Menurut Zai, pemilihan caklempong dan gambus kerana dua alat muzik tradisional ini dapat dikembangkan secara meluas dalam pelbagai jenis lagu.

“Kami merancang untuk menambah elemen tradisional menerusi penggunaan alat muzik seperti tabla dan sitar pada masa akan datang,” tambahnya.

Ditanya mengenai kecaman sekiranya dikatakan merosakkan elemen tradisional di dalam lagu, Zai berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi halangan buat mereka yang mahu menyebarkan elemen muzik tempatan dengan cara baharu secara meluas.

“Tak ramai yang minat muzik tradisional, terutama anak-anak muda. Jika cara baharu ini dapat menarik perhatian mereka, kenapa tidak untuk kita mencuba,” katanya.

Mengenai tawaran di AS, Zai berkata, sebuah syarikat rakaman yang dinaungi ramai penyanyi antarabangsa popular meminta untuk merakamkan semula lagu ‘The Promise’ yang dinyanyikan mereka di Vietnam sehingga dijulang sebagai juara. 

Walaupun sedia menerima tawaran tersebut, katanya, mereka berharap ia dapat dilakukan seawal-awalnya pada April tahun depan selepas sebahagian daripada ahli kumpulan yang masih menuntut di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tamat pengajian.

“Mereka minta kita datang ke sana (AS) pada Disember ini. Tapi, kami berharap ia dapat dilakukan pada April tahun depan. Kita berharap ia dapat dipertimbangkan. Jika ada rezeki, maka dapatlah kami merakamkan lagu di sana. 

“Jika tak ada, kami reda dan tak akan putus asa. Rezeki ada di mana-mana kalau ada kesungguhan. Perjuangan kami tetap akan diteruskan,” katanya sambil menambah setakat ini mereka masih belum menerima tawaran dalam negara.

Ditanya mengenai tawaran berkenaan sebagai batu loncatan untuk bertapak di AS seperti Yuna, beliau berkata, perjalanan kumpulan Floor 88 masih terlalu jauh untuk mencapai ke arah itu namun kejayaan dan bakat artis berkenaan amat disanjungi.

“Siapa tidak mahu berjaya seperti Yuna. Kejayaan beliau di Amerika menjadi inspirasi kami untuk memperjuangkan muzik tradisional di peringkat antarabangsa.

“Sama ada peluang di dalam atau luar negara, kami terima dengan hati terbuka. Matlamat kami adalah untuk memperjuangkan muzik gabungan tradisional dan moden. Itulah matlamat Floor 88, kami mahu berdiri semegah KLCC, ” ujar Zai.

Tags / Kata Kunci: Floor 88 , KLCC

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan