Rang Undang-Undang Senaraikan Ketum Sebagai Dadah Dibentang Tahun Depan - Berita Semasa | mStar

Rang Undang-Undang Senaraikan Ketum Sebagai Dadah Dibentang Tahun Depan

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2015 9:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014 untuk mengekang penyalahgunaan daun ketum perlu diperhalusi bagi membolehkannya di bentang di Parlimen pada tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata perkara itu memerlukan masa untuk menyediakan takrifan baharu bagi daun ketum agar ia disenaraikan sebagai dadah berbahaya kerana penyalahgunaan bahan organik untuk khayal itu, kini terletak di bawah Akta Racun 1952.

"Tahun depan baru bentang semula, tahun ini rasanya tidak sempat, banyak yang perlu diperhalusi, " katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam, bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil alih daripada Kementerian Kesihatan untuk membentangkan semula rang undang-undang berkaitan penyalahgunaan daun ketum itu.

Pada persidangan Parlimen sebelum ini Kementerian Kesihatan terpaksa menarik balik pembentangan rang undang-undang itu berikutan terdapat bantahan terhadap cadangan definisi penyalahgunaannya kerana dikhuatiri boleh berlaku penganiayaan kepada penduduk kampung, yang menanam dan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan dan kesihatan diri.

Nur Jazlan berkata sehingga kini kementeriannya belum dimaklum secara rasmi bagi mengambil alih peranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan