KPT Tetap Tidak Iktiraf UEC - Mary Yap

Diterbitkan: Sabtu, 7 November 2015 2:31 PM

Mary Yap Kain Ching.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tetap dengan pendiriannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata kementerian itu sedia menimbang kedudukan UEC jika kurikulumnya memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ketika menjelaskan pendirian kementerian itu untuk terus tidak mengiktiraf UEC, beliau berkata UEC tidak selaras dengan kurikulum kebangsaan seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pendidikan 1996.

Selain standard komponen Bahasa Malaysia UEC tidak setaraf dengan standard dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), liputan kurikulum sejarah UEC bagi sejarah negara ini juga tidak mencukupi, katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata syarat umum bagi kemasukan ke sesebuah universiti awam ialah lulus SPM dengan kepujian dalam Bahasa Melayu.

Menurut beliau, kementerian itu menyedari tentang wujudnya saranan daripada pelbagai pihak agar UEC diiktiraf sebagai kelayakan sah untuk kemasukan ke universiti awam.

Pada September, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan Sarawak akan mengiktiraf UEC dan pemegang sijil itu boleh memohon jawatan dalam perkhidmatan awam negeri berkenaan.

Pemegang UEC juga layak mendapat pinjaman kerajaan negeri untuk melanjutkan pengajian, katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: KPT , sijil UEC , Mary Yap

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan