40 Peratus Warga Emas Di Sarawak Kesunyian

Diterbitkan: Sabtu, 7 November 2015 6:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati 40 peratus warga emas di Sarawak pernah berasa kesunyian.

Justeru, isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Sri Jamilah Anu menggesa supaya isu itu segera ditangani supaya golongan berkenaan dapat menikmati kualiti hidup yang baik.

Beliau berkata kajian itu juga mendapati 52.2 peratus penduduk di Sarawak merupakan isi rumah keluarga asas terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak, manakala selebihnya isi rumah keluarga luas, isi rumah perseorangan, isi rumah ahli tidak bersaudara serta isi rumah ahli-ahli.

Kajian juga menunjukkan di Sarawak, hanya 7.1 peratus lelaki dan 11.1 peratus wanita pernah berkahwin, telah bercerai atau berpisah pada perkahwinan pertama.

"Antara punca utama penceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang serta campur tangan mentua atau ipar-duai. Oleh itu, program pemantapan keluarga perlu diteruskan bagi memastikan kadar penceraian dapat diturunkan," katanya ketika merasmikan majlis pelancaran sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia, di sini hari ini.

Jamilah juga mencadangkan KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan gerak kerja yang lebih agresif bagi memastikan institusi keluarga dapat diperkukuh.

Selain itu, program pendidikan kekeluargaan dan pemantapan perkahwinan yang dilaksanakan agensi seperti LPPKN, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perunding perlu diperhebat bagi memantapkan lagi institusi keluarga di negara ini.

Di samping itu, beliau turut menyeru NGO serta swasta bekerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memastikan keadaan itu dapat diperbaiki.

Dalam pada itu, katanya dapatan positif daripada kajian itu ialah 91.2 peratus responden bujang di Sarawak yang berumur 25 hingga 49 tahun, menyatakan mereka ada membuat simpanan.

"Ini menunjukkan sudah ada kesedaran yang sangat tinggi dalam kalangan individu bujang tentang pentingnya membuat simpanan sebelum berkahwin," katanya.

Beliau turut memuji KPWKM kerana berjaya menganjurkan sambutan Hari Datuk dan Nenek buat kali pertama pada 4 Okt tahun ini.

Hari Datuk dan Nenek di Malaysia diisytiharkan jatuh pada Ahad pertama bulan Oktober setiap tahun, bermula tahun ini.

Jamilah berkata sambutan seumpama itu penting bagi menghargai jasa dan peranan datuk dan nenek dalam institusi kekeluargaan.

Beliau berkata institusi kekeluargaan merupakan tonggak utama dalam memastikan kemajuan sesebuah negara, sambil menambah bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat yang progresif dan berdaya saing.

Tags / Kata Kunci: Warga Emas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan