Kerajaan Berazam Percepat Pemberian Wang Ihsan Mangsa Banjir - TPM

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2015 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan berazam wang ihsan sekurang-kurangnya RM500 untuk setiap isi rumah mangsa banjir kali ini dapat diberikan sebelum banjir surut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pemberian itu wajar dilakukan segera untuk kegunaan mangsa banjir yang memerlukan bantuan untuk perbelanjaan sepatutnya.

Sehubungan itu, katanya satu memorandum akan disediakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kasim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk diserahkan kepada kabinet bagi menambah baik kaedah pemberian wang ihsan itu.

"Memorandum itu untuk mendapatkan kelulusan agar wang ini datangnya daripada syarikat insurans yang dibuat berdasarkan pembayaran premium yang dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Apabila berlaku banjir maka syarikat insurans yang mengambil premium itu akan membayar dengan jumlah yang lebih daripada RM500 untuk satu isi rumah dan dapat dibayar sebelum air surut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Negara di sini, Khamis.

Mesyuarat berkenaan diadakan untuk membincangkan strategi, gerak atur agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana serta menilai tahap keberkesanan dan keupayaan negara dalam pengurusan bencana.

Ahmad Zahid berkata dalam mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu, mereka bersetuju supaya pelan pengurusan banjir di Kemaman, Terengganu akan dijadikan template khas pengurusan banjir di peringkat nasional.

"Ini berdasarkan contoh yang telah dilakukan anggota Parlimen Kemaman yang  melakukan kesiapsiagaan sebelum banjir berlaku, ketika banjir melanda dan pasca banjir. Ketiga-tiga kaedah ini akan digunakan sebagai template baharu pengurusan bencana negara," kata beliau.

Ahmad Zahid juga berkata taklimat khusus berkaitan banjir juga akan diadakan dalam masa terdekat untuk semua anggota Parlimen di kawasan terlibat banjir, pegawai daerah serta pelbagai pihak relevan supaya persediaan lebih baik dapat dilakukan.

Beliau juga berkata Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) ditugaskan menjadi sekretariat dan urussetia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Pusat di peringkat nasional, negeri dan daerah dengan semua aset, peruntukan dan logistik Majlis Keselamatan Negara diserahkan kepada JPAM.

Ahmad Zahid turut mengulas peruntukan RM180 juta untuk pengurusan banjir yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2016.

"Walaupun jumlah ini kecil, ia tidak termasuk pembelian aset yang telah ditentukan awal dan soal pembaikan infrastruktur dan juga beberapa kemudahan awam," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga turut memberikan komitmen untuk menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir dengan menyediakan lebih banyak bilik air untuk kemudahan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata mesyuarat khas bagi menangani masalah jerebu akan diadakan pada masa akan datang.

"Hari ini hanya taklimat sahaja," kata beliau.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , wang ihsan , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan