Bahagian Ke-2 Temuramah Khas Dengan Peneraju Kepimpinan Negara

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2015 6:35 PM

(Ubah saiz teks)

DALAM bahagian kedua dan akhir temuramah khas menerusi emel dengan para pemimpin negara dan peneraju industri,  WONG CHUN WAI terus melontarkan beberapa pertanyaan mengenai status hutang negara dan juga isi rumah dalam situasi ekonomi yang lembab sekarang.  Antara lain beliau diberitahu yang Malaysia masih berada dalam zon selamat.

TENTANG FISKAL & HUTANG ISI RUMAH

Jangan Bimbang, Malaysia Dalam Zon Selamat…

> Ramai rakyat Malaysia begitu bimbang tentang hutang luar semakin meningkat dan kita akan menjadi negara muflis.

> Datuk Seri Idris Jala (CEO Pemandu): Kerajaan Malaysia tidaklah berada dalam kedudukan kewangan yang sangat teruk. Menerusi langkah yang munasabah, kewangan kita adalah baik, tetapi dalam apa jua keadaan yang melibatkan kewangan, kita boleh melakukan dengan lebih baik. Kita telah bertindak dengan tegas dalam pengurangan defisit dari 6.4 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 sehingga 3.4 peratus pada 2014, dan mengekalkan hutang di bawah 55 peratus berbanding siling KDNK.

Cuba bandingkan ini dengan hutang yang ditanggung oleh Greece yang berada pada paras 110 peratus daripada KDNK dan bajet defisit sebanyak 13 peratus. Amat jelas sekali kita sebenarnya berada jauh dari krisis atau keadaan yang boleh membawa kepada  krisis.

Bagi Malaysia, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa kita berada di dalam "zon selamat" jika dibandingkan dengan kedudukan kita pada 2009-2010, yang menunjukkan kita telah bergerak ke arah yang betul.

Berdasarkan analisis ini, kedudukan kita adalah lebih baik berbanding United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Portugal dan Jepun, sekadar menyebut beberapa negara.

> Jika kita melibatkan liabiliti luar jangka, hutang kita boleh mencecah sehingga melebihi 70 peratus daripada KDNK.

> Idris: Pertamanya, boleh dikatakan semua kerajaan yang mempunyai akses kepada pasaran kewangan moden turut mempunyai liabiliti luar jangka. Ia merupakan sebahagian daripada perniagaan yang memerlukan pembiayaan perdagangan, penyediaan jaminan pelaburan dan sebagainya, dan keperluan untuk ekonomi moden. Pengiraan hutang negara mematuhi piawaian antarabangsa.

Jika kita memasukkan liabiliti luar jangka dan jaminan kerajaan dalam pengiraan, ia akan membawa ke paras dari 53 peratus kepada tidak lebih daripada 70 peratus.

Berdasarkan perbandingan, jika melihat hutang negara-negara lain yang dilaporkan kepada umum, hutang kerajaan Singapura adalah 100 peratus manakala di kebanyakan negara di Zon Eropah di atas 90 peratus dan di Jepun melebihi 200 peratus.

Di Malaysia, kita telah meluluskan undang-undang yang menghalang kita daripada meminjam lebih 55 peratus daripada KDNK. Dalam kebanyakan forum antarabangsa yang saya hadiri seperti Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan mesyuarat Bank Dunia, saya menyuarakan agar semua kerajaan memulakan dasar yang sama.

> Hutang isi rumah kini melebihi 85 peratus daripada KDNK. Hal ini membimbangkan. Rakyat Malaysia mendapati sukar untuk menjalani kehidupan seharian.

> Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara): Hutang isi rumah ialah pada kadar 87 peratus daripada KDNK dan kini telah stabil. Nisbah pinjaman tidak berbayar hanya 1.5 peratus. Selain itu, pertumbuhan hutang tidak bercagar adalah sederhana. Sebagai contoh, kadar pertumbuhan pembiayaan peribadi dan kad kredit adalah antara tiga sehingga empat peratus sahaja.

Secara umum, kita percaya bahawa kaedah-kaedah bagi pembiayaan rumah dan pinjaman lain adalah perlu untuk menguruskan tahap keseluruhan hutang isi rumah. Sebagai contoh, kita mempunyai garis panduan yang merupakan keperluan untuk insititusi kewangan membuat penilaian kemampuan peminjam.

Ini membolehkan seorang peminjam mengetahui sama ada dia benar-benar mampu atau berupaya untuk membayar semula pinjamannya. Garis panduan yang berhemat itu merupakan bahagian penting dalam ekonomi yang sihat.

TENTANG PENGESAHAN DUNIA LUAR

> Kedudukan Malaysia di ranking  antarabangsa telah menurun. Adakah Malaysia sedang menuju ke arah yang salah?

> Idris: Walaupun di tengah-tengah ketidaktentuan dan turun naik, Malaysia sebenarnya telah mencatatkan kemajuan di peringkat antarabangsa, seperti yang ditunjukkan dalam penanda aras antarabangsa dan pengiktirafan daripada badan-badan asing. Ranking dalam Laporan Kemudahan Menjalankan Perniagaan 2016, Bank Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-14 daripada 61 buah negara. Laporan Buku Tahunan Kompetitif Antarabangsa 2015 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-18 daripada 140 buah negara.

Universiti-universiti terkemuka seperti Harvard dan Princeton telah menulis kertas kerja mengenai keberkesanan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Malaysia, dan ETP di Malaysia digunakan sebagai kajian kes positif di Fakulti Perniagaan Harvard. Bloomberg meletakkan Pemandu pada kedudukan 20 teratas bagi agensi-agensi kerajaan yang paling inovatif di peringkat global.

TENTANG PELABURAN

Naik & Turun Adalah Normal, Masa Baik Tak Kekal Sepanjang Masa…

> Jika kita membaca berita, kita akan melihat laporan-laporan mengenai aliran keluar dana yang besar. Adakah ini bermakna para pelabur asing bimbang dan hilang kepercayaan ke atas kita?

> Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa & Perindustrian): Dalam pelaburan sentiasa ada turun dan naik. Terdapat kitaran. Dalam tempoh dua setengah tahun, kita telah menikmati pertumbuhan dua digit dalam pelaburan swasta dari suku tahun ke suku tahun.

Tetapi kita tahu apabila Bank Negara mengumumkan prestasi suku kedua tahun ini, kadar pertumbuhan menyusut kepada 3.9 peratus.

Namun begitu,  kita masih menerima hampir RM20 bilion pelaburan untuk sektor pembuatan. Kebanyakan pelaburan ini akan diluluskan dan Mida akan memantau dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Sebelum itu, kita telah meluluskan kira-kira RM53 bilion pelaburan setakat Julai tahun ini.

Bagi suku pertama 2015, perangkaan kita dilihat kukuh tetapi saya mahu menjadi realistik. Anda tidak boleh mengandaikan masa yang baik akan terus kekal sepanjang masa. Walaupun begitu, para pelabur yang serius akan melihat kepada pelaburan jangka sederhana dan panjang dan menyuarakan keyakinan mereka kepada negara ini.

Dalam pelaburan infrastruktur pula khususnya, kita sedang melaksanakan projek infrastruktur yang besar seperti Jajaran MRT Jajaran 1, MRT Jajaran 2, LRT Jajaran 3 dan projek kereta api laju - dan kesemua ini memberi petanda yang baik buat kemajuan negara.

Kita mempunyai infrastruktur yang merupakan antara yang terbaik dan kestabilkan politik untuk terus memacu negara kita ke hadapan walaupun terdapat cabaran domestik dari semasa ke semasa. Dan walaupun pertumbuhan pada suku kedua sedikit perlahan, kita percaya prospek akan berterusan dan pertumbuhan akan menjadi baik.

> Adakah kita mengalami apa yang disebut sebagai larian modal domestik?

> Zeti: Saya ingin membetulkan terma-terma yang telah digunakan itu. Malaysia tidak mengalami larian modal domestik. Seperti yang dialami sebelum ini dalam krisis kewangan Asia, kita mempunyai aliran keluar dan serangan terhadap matawang kita oleh spekulator asing. Tetapi kita salah satu daripada negara yang tidak mengalami larian modal domestik.

Modal domestik kita tidak mengalir keluar kerana peniaga tempatan percaya kepada dasar yang kita laksanakan. Oleh itu, kita tidak mempunyai kejatuhan mata wang atau pengurangan dalam rizab. Malaysia bukan di bawah program penyelamat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Di dalam persekitaran global semasa hari ini, korporat asing, syarikat tempatan dan GLC membuat pelaburan secara global. Ia merupakan sebahagian daripada kepelbagaian dalam aktiviti pelaburan mereka. Pada masa sama, mereka perlu membuat aliran dua hala dan membawa balik dana-dana ini.

Ia telah berlaku selama bertahun-tahun dan menambah kecairan pasaran domestik.

> Terdapat gesaan supaya syarikat-syarikat Malaysia perlu membawa balik pendapatan dan melabur di dalam negara. Sekurang-kurangnya itulah yang kita dengar GLC (syarikat berkaitan kerajaan) diminta untuk berbuat demikian.

> Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Menteri di JPM): Sejak beberapa tahun lalu, kita melihat banyak syarikat Malaysia membuat pelaburan di luar negara. Setakat Jun 2015, pelaburan langsung Malaysia di luar negara berjumlah RM522 bilion berbanding pelaburan langsung asing bersih ke dalam negara RM477 bilion.

Syarikat-syarikat tempatan telah menikmati pertumbuhan yang baik untuk menjadi juara serantau dan juga juara global. Syarikat-syarikat seperti Petronas, IOI, Sunway dan AirAsia kini peneraju global.

Ini merupakan sesuatu yang kita galakkan kerana pasaran tempatan kita tidak begitu besar dan terhad. Oleh yang demikian, dari  semasa ke semasa apabila syarikat ini menghasilkan pulangan yang tinggi di luar negara, kita menggalakkan mereka untuk membawa balik pulangan tersebut ke dalam negara.

Kebiasaannya, seorang pelabur yang bijak akan membuat pelaburan di luar negara apabila Ringgit menjadi kukuh berbanding dolar AS. Apabila Ringgit lemah berbanding mata wang lain maka inilah masa untuk membawa keuntungan kembali ke Malaysia dan melabur lebih banyak di dalam negara. Bukan hendak mengatakan bahawa pelabur-pelabur ini tidak melabur di dalam negara. Sebanyak 71 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia adalah daripada swasta termasuklah daripada korporat tempatan.

TENTANG MINYAK DAN GAS

Melihat Jauh Ke Hadapan Melangkaui Telaga Minyak…

> Sebagai pengeksport minyak dan gas bersih, kita kelihatan terlalu bergantung kepada hasil pendapatan komoditi ini untuk pendapatan negara. Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk melihat kepada sumber pendapatan lain mulai sekarang?

Idris: Sejak kebelakangan ini, harga minyak mentah telah jatuh dengan pantas sekali. Daripada AS$100 setong,  ia terus jatuh dan jatuh dan sehingga  15 Ogos lalu,  ia tiba ke paras paling rendah iaitu AS$47 setong.  Sebenarnya ini bukanlah satu fenomena baru kerana dari 1960 hingga 2005, harga petrol tidak pernah melepasi paras  AS$40 setong.

Dan dalam tempoh tersebut kita berjaya menguruskan negara kita secara efektif dan efisien tidak kira sama ada harga minyak jatuh atau tidak.

Harga komoditi sebenarnya sangat mudah meruap malah di luar kawalan kita. Sebahagian daripada pengurusan ekonomi yang efektif ialah untuk menerima hakikat yang harga komoditi akan naik dan turun dan tidak terjurumus ke dalam perangkap ini. Kita telah lalui ini semua.

Ketika kita mula-mula Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2009-2010,  sumber pendapatan negara daripada hasil minyak dan gas adalah sekitar  40 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan tetapi menjelang 2014,  kita berjaya mengurangkan kebergantungan ini kepada hanya 29.7 peratus. Bagi kita adalah amat jelas sekali yang kita perlu menjana pendapatan bukan dari hasil minyak dan gas supaya tidak terlalu bergantung kepada  pendapatan minyak dan gas.

Kita perlu meletakkan kepentingan strategi pembangunan kita kepada kepelbagaian ekonomi dan kerana itulah  ETP memberi fokus kepada membangunkan 12 sektor utama di dalam pacuan ekonomi. Kita berjaya melaksanakan ini dengan membawa pihak swasta dan awam berganding bahu bersama.

Sekarang kita sudah boleh menyaksikan yang komoditi bukan berasaskan gas dan minyak telah menyumbang kepada lebih 80 peratus daripada KDNK.

Sekitar 70 peratus daripada bajet kerajaan adalah bersumberkan hasil pendapatan bukan minyak dan gas dan angka ini semakin meningkat. Sebagai tambahan, penarikan balik subsidi petrol telah mewujudkan begitu banyak ruang kepada kerajaan untuk berkembang  dan bergerak khususnya dalam soal ruang fiskal.

Sebenarnya ekonomi kita adalah seimbang dan memiliki kepelbagaian dengan dibantu oleh rahmat hasil minyak dan gas. Sementara minyak dan gas kekal sebagai sumber pendapatan utama negara adalah tidak tepat untuk mengatakan yang kita terlalu bergantung harap kepada sumber pendapatan komoditi ini untuk hidup.
Tags / Kata Kunci: KDNK , ETP , GTP , WEF , IMD , MRT , LRT , IMF , Petronas , IOI , Sunway , AirAsia , Malaysia

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan