Tiada Syarat Khas Pengislaman Punca Bantuan Mualaf Tercicir - Ahli Akademik

Diterbitkan: Rabu, 4 November 2015 8:00 AM

Profesor Madya Dr Razaleigh Muhamat

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tiada syarat khas berhubung pihak atau individu yang diiktiraf layak mengislamkan seseorang dikesan antara punca adanya saudara baharu 'tercicir' daripada menerima bantuan atau maklumat berkaitan zakat.

Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Razaleigh Muhamat@Kawangit berkata, di Malaysia, banyak pihak boleh mengislamkan seseorang tetapi tidak ramai yang mampu melaksanakan tugas menyalurkan maklumat berkaitan pendaftaran dan bantuan selepas proses itu.

Beliau berkata, walaupun majlis agama Islam negeri boleh mengislamkan seseorang dan mewujudkan bantuan khas untuk mualaf, kebanyakan mereka yang ingin memeluk Islam di negara ini lebih suka memilih pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masjid untuk melafaz dua kalimah syahadah.

Kesudahannya, butiran diri mereka tiada dalam rekod pihak berkuasa, tiada dalam statistik dan seterusnya terlepas peluang menerima zakat asnaf mualaf yang diperuntukkan untuk mereka.

"Mereka yang mahu memeluk Islam bebas memilih tempat dan siapa yang mereka mahu untuk mengislamkan mereka. Biasanya ramai pilih NGO yang lebih dekat dengan mereka.

"Persoalannya, dengan kepelbagaian orang yang boleh mengislamkan seseorang, adakah mereka ini mempunyai maklumat tentang bantuan? Adakah mereka mempunyai maklumat tentang tatacara pengislaman yang dibuat oleh jabatan agama Islam negeri?," katanya kepada mStar Online.

Razaleigh berkata, walaupun Islam tidak mewajibkan 'pendaftaran' saudara baharu, tapi untuk kebajikan dan pengurusan mualaf di peringkat negara, sistem dan dasar perlu ditambah baik.

Jelasnya, tidak salah memilih NGO untuk memeluk Islam tetapi ia wajar disusuli dengan pendaftaran di pejabat agama daerah atau negeri sebagai tanda 'merasmikan' pengislaman mereka.

Ini kerana kebanyakan NGO Islam lebih memberi fokus untuk membimbing dan mendidik saudara baru berbanding bantuan.

Beliau menegaskan, hanya dengan mendaftar dengan institusi agama peringkat negeri atau beberapa saluran berwibawa lain sahaja akan melayakkan seseorang mendapat bantuan yang ditawarkan. Mereka juga akan diberikan kad mualaf.

"NGO atau masjid tak ada penerangan tentang bantuan, tak boleh keluarkan kad. Mereka tak ada masa untuk itu. Hanya panggil masuk (bilik), mengucap, selepas itu terpulang kepada mualaf itu sendiri.

"Saudara baharu pula mungkin ketika itu hanya mahu masuk Islam. Selepas beberapa tahun, bila mereka tidak dibantu atau dibiarkan, baru mereka tertanya-tanya tentang bantuan mualaf," katanya.

Razaleigh yang membuat kajian tentang mualaf hampir 10 tahun berkata, dalam isu ini, tidak wajar untuk menyalahkan sama ada pihak berkuasa atau mualaf itu sendiri.

Katanya, mualaf ada banyak saluran bantuan, cuma mereka mungkin tiada atau tidak mendapat maklumat tepat mengenainya.

"Pihak berkuasa pula telah menyediakan hampir semua jenis kemudahan untuk mualaf daripada mereka mula memeluk Islam dan dibimbing secara berperingkat.

"Cuma mereka perlu menguar-uarkan bantuan yang disediakan itu dengan lebih luas," katanya. 

Bagi memperkemaskan aspek bantuan kepada mualaf, beliau turut menyarankan setiap daerah melantik individu tertentu yang bertanggungjawab merekod butiran saudara baharu.

"Ia untuk jaga kebajikan mualaf .

"Kalau mereka tak perlu (bantuan) tak apa, tak timbul isu. Masalah sekarang bila timbul isu mereka tidak diberi pengetahuan tentang kebajikan atau bantuan yang mereka patut dapat dan sebagainya," katanya.

Katanya, kajian juga perlu dibuat supaya penyeragaman bantuan mualaf dapat dibuat di seluruh negara termasuk tempoh dan kadar munasabah untuk dilaksanakan di semua negeri.

Tags / Kata Kunci: mualaf , bantuan mualaf , Razaleigh Muhamat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan