Kementerian Kesihatan Mulakan Operasi Rampas Cecair Vape Bernikotin

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2015 2:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan merampas cecair vape yang mengandungi nikotin dalam operasi yang akan diadakan secepat mungkin.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan telah diarah untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat menjual cecair bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape.

"Kami akan mulakan operasi secepat mungkin," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Katanya, kementerian mempunyai kuasa untuk merampas produk yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.

Mengikut Akta, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilangkan, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.

Pada 28 Oktober, Dr Subramaniam berkata kementerian sedang berusaha mendapatkan hak undang-undang sama ada untuk mengharamkan vape atau tidak sebelum ia menjadi isu besar.

Bagaimanapun, pada 29 Oktober, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kabinet telah memutuskan untuk tidak mengharamkan vape.

"Ini berita baik kepada pengguna vape, pembuat perisa vape dan penjual vape. Kabinet memutuskan untuk tidak mengharamkan vape. Terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang memahami aspirasi belia," jelas Ismail Sabri.

Tags / Kata Kunci: Vape , Kementerian Kesihatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan