4,730 Kes Didakwa Dibawah Akta Kanak-Kanak 2001

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2015 1:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara merekodkan sebanyak 4,730 kes pendakwaan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dari tempoh 2011 hingga September 2015, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata dalam tempoh sama, sebanyak 4,021 kes berkaitan kanak-kanak telah dijatuhi hukuman di bawah akta tersebut.

"Dari tahun 2011 hingga 2013, bilangan kes pendakwaan tidak menunjukkan trend naik dan turun yang ketara iaitu pada tahun 2011 jumlah kes adalah 889, tahun 2012 (841 kes) dan tahun 2013 (896 kes)," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) di sini.

Bagaimanapun, Azizah berkata kes pendakwaan berhubung kesalahan kanak-kanak pada tahun 2014 mencatat angka agak tinggi dengan jumlah kes adalah 1,243 atau peningkatan sebanyak 38.7 peratus.

Jelasnya, rekod itu akan kekal tinggi memandangkan jumlah kes yang didakwa setakat September lepas telah mencecah 861 kes.

Menjawab soalan tambahan Teo berhubung kes buang bayi, Azizah berkata kes tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, namun katanya kementerian sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program kesedaran dalam kalangan golongan muda berhubung isu itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan