iM4U Cadang Anjur Lebih Banyak Program Sukarelawan Asean

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2015 11:46 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Komuniti sukarelawan belia Malaysia, iM4U, bercadang menganjurkan lebih banyak program sukarelawan ASEAN pada masa depan, berikutan kejayaan inisiatif ASEAN4U yang julung kali diadakan.

"Kami berharap terus menganjurkan program yang serupa dalam masa terdekat melibatkan sukarelawan di Malaysia dan negara-negara jiran," kata Ketua Pegawai Operasi iM4U, Rudy Malik.

ASEAN4U merupakan inisiatif rangkaian sukarelawan iM4U untuk meraikan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi 2015, yang menghimpunkan 70 peserta dari negara-negara anggota ASEAN di Kuala Lumpur.

Peserta menyertai pelbagai aktiviti seperti memasak dan mengagihkan makanan kepada 500 orang yang tidak mempunyai rumah di 10 lokasi di Kuala Lumpur, dan menanam pokok untuk membantu memulihkan alam sekitar semasa berada di sini selama enam hari, yang berakhir pada Selasa.

"Saya berharap peserta mendapat manfaat daripada program ini dan dapat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan di negara mereka," kata Rudy.

Beliau ditemui semasa mengiringi delegasi ke mesyuarat dengan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, di sini Selasa.

Abdul Wahid yang juga mentor iM4U, berkata program ASEAN4U ialah platform yang baik bagi belia untuk membangunkan kemahiran sukarelawan dan seterusnya berintegrasi dalam masyarakat.

Beliau berkata program itu juga mewujudkan peluang bagi sukarelawan daripada latar belakang berbeza untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan pengetahuan kepada rakan mereka. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: iM4U , ASEAN4U

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan