Debat Tidak Bersihkan Masalah 1MDB - PAS

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2015 11:57 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak akan membersihkan tuduhan terhadap skarikat pelaburan kerajaan itu.

Sebaliknya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tetap perlu menyelesai masalah yang dihadapi 1MDB dalam tempoh enam bulan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"PAS ingin mengingatkan BN (Barisan Nasional) bahawa debat ini tidak akan membersihkan masalah 1MDB dan kerosakan ekonomi serta ringgit yang dibawa bersamanya.

"Sebagai peringatan ada 41 hari sahaja lagi sebelum tempoh enam bulan yang dijanjikan Najib untuk menyelesaikan masalah 1MDB akan tamat. Hakikatnya masalah 1MDB tidak selesai di satu debat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyokong debat berkenaan dan menggesa supaya Pua menyahut cabaran Arul untuk berdebat di televisyen.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak turut menyatakan kesediaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan rancangan debat berhubung 1MDB secara langsung di televisyen.

Ia susulan kesediaan yang dinyatakan Arul pada Sabtu lalu untuk bersemuka dengan pemimpin DAP itu tanpa syarat bagi menjawab mengenai tuduhan membabitkan 1MDB.

Tags / Kata Kunci: Arul Kanda Kandasamy , Tony Pua , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan