Debat Arul Kanda Dengan Tony Pua Wajar Diadakan Tanpa Penonton - Dr Salleh Said Keruak

Diterbitkan: Isnin, 2 November 2015 7:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua wajar diadakan secara tertutup tanpa penonton.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bagaimanapun berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyiarkan debat berhubung skandal syarikat berkaitan kerajaan itu secara langsung.

"Bagi RTM lebih baik diadakan dalam studio tanpa audience. Kedua-dua pihak akan diberi peluang untuk menyampaikan hujah masing-masing.

"Pada saya itu format yang baik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Tambah Salleh, debat berhubung isu yang membabitkan kepentingan rakyat itu seharusnya diadakan sebelum penghujung tahun ini.

"Harap ia boleh dibuat tahun ini, secepat mungkin dengan segera. Lagi cepat lagi baik.

"Tak boleh biarkan perkara ini tergantung seperti ini. Rakyat ternanti-nanti nak dengar perbahasan berhubung 1MDB," katanya.

Awal hari ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi ‘lampu hijau’ kepada Arul  dan Pua untuk berdebat berhubung isu membabitkan syarikat pelaburan kerajaan itu.

Ia susulan kesediaan Arul untuk bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu berkaitan 1MDB tanpa sebarang syarat.

Mengulas mengenai format debat yang dicadangkan RTM kepada Arul dan Pua, Salleh bagaimanapun berkata ia belum ditentukan secara khusus.

"Sudah tentu tak boleh bocor perkara yang membabitkan siasatan. Tapi isu umum yang diketahui rakyat boleh disentuh.

"Sebab itu kena dilakukan dalam situasi yang kondusif. Debat ini bukan untuk mendapatkan markah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Perlimen , Debat , 1MDB , RTM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan