Tingkat Usaha Kebersihan Untuk Tangani Denggi

Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 12:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam memerangi wabak denggi dengan menjaga kebersihan kawasan persekitaran, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Beliau berkata berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia setakat Januari sehingga 14 Okt tahun ini, sebanyak 94,613 kes denggi dilaporkan di seluruh negara dengan mencatatkan 262 kes kematian.

"Kuala Lumpur telah merekodkan sebanyak 6,446 kes denggi dengan 31 kematian sekaligus meletakkan kita sebagai negeri keempat tertinggi dalam negara.

"Daripada jumlah tersebut, kita dapati sebanyak 1,256 kes berlaku di kawasan Lembah Pantai dengan enam kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Taskforce Kebersihan Peringkat Parlimen Lembah Pantai, di sini, Sabtu.

Program tahunan yang bermula pada Jun 2013 itu bertujuan untuk menangani masalah dan mempertingkatkan tahap kebersihan di Wilayah Persekutuan, terutamanya di tempat tumpuan awam dan para pelancong.

Loga Bala berkata masyarakat setempat harus bersama-sama menjaga kebersihan serta memastikan kesemua faktor yang membawa kepada sebarang penyakit dapat dijauhi.

Tags / Kata Kunci: Denggi , Kebersihan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan