UiTM Sanggah Dakwaan Rafizi

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 8:02 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyanggah tuduhan pembangkang bahawa kerajaan akan menanggung kos berjumlah RM8.2 bilion bagi projek pembinaan hospital UiTM di kampus Puncak Alam, di sini.

Universiti itu menerusi kenyataan berkata, kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung kos pembinaan projek tersebut adalah tidak benar dan ditokok tambah.

"UiTM amat terkilan dengan maklumat tidak tepat dan disensasikan oleh YB Rafizi berkenaan cadangan pembangunan Hospital Pengajar dan Fakulti Perubatan UiTM secara Private Finance Initiative (PFI) di Puncak Alam itu.

"UiTM belum menandatangani apa-apa perjanjian konsesi dengan mana-mana syarikat konsesi yang berkaitan dengan hospital tersebut.

"Draf perjanjian konsesi akhir tersebut telah dihantar kepada UiTM pada 14 Julai lepas dan telah dibincangkan secara teliti oleh Lembaga Pengarah UiTM pada 22 Oktober lepas," katanya.

Menurut universiti itu, draf perjanjian konsesi tersebut masih diteliti dengan lebih terperinci bagi memastikan kepentingan UiTM terpelihara.

Hospital itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 11.28 hektar (28.19 ekar) dan mempunyai 400 buah katil, katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan dakwaan Rafizi bahawa kerajaan dalam proses untuk menyerahkan projek pembinaan hospital itu kepada ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno.

Beliau mendakwa projek pembinaan hospital itu menelan belanja RM599 juta tetapi kerajaan menyerahkan projek berkenaan dengan harga RM8.2 bilion.

Tags / Kata Kunci: UiTM , Rafizi Ramli

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan