Musim Tengkujuh Bermula, Penduduk Di Kelantan Kembali Resah

Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 8:15 AM

Ramlah, salah seorang mangsa banjir pada tahun lepas, menjemur pakaian di kawasan penempatan sementara mangsa banjir di Tamam Ethnobotani, Gua Musang.

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Musim tengkujuh atau monsun timur laut telah bermula, dengan hujan lebat pertama dijangka berlaku dalam tempoh seminggu lagi.

Bagi beribu-ribu rakyat Kelantan, mimpi ngeri lama kembali menjelma.

Disember lalu, banjir yang paling teruk dalam sejarah telah melanda negeri itu, menyebabkan beribu-ribu penduduk terkandas.

Malah, pejabat daerah dan jawatankuasa bencana juga menjadi mangsa banjir dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mangsa lain.

Lebih daripada 100,000 orang di 12 daerah telah dipindahkan dengan Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Baru menjadi kawasan paling teruk terjejas.

Di Bandar Utama, banyak keluarga kini hidup dalam ketakutan.

Sekurang-kurangnya 14 keluarga masih tinggal di khemah selepas hujan lebat pada Disember lalu menghanyutkan kira-kira 200 buah rumah di Gua Musang.

"Setiap kali hujan saya takut. Ia mengingatkan saya kepada apa yang berlaku tahun lalu," kata Ramlah Ismail, 51, yang masih tinggal di dalam khemah.

"Ia masih segar dalam ingatan saya. Saya tidak fikir khemah ini akan dapat bertahan apabila dipukul ribut."

Pada masa yang sama, dia gembira kerana keluarganya belum lagi berpindah ke rumah baru yang telah dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Rumah-rumah tersebut terletak di atas tanah yang lebih rendah, dengan jarak lebih kurang 5km dan berkemungkinan besar akan musnah sekali lagi jika berlaku satu lagi banjir besar.

"Ia boleh jadi satu rahmat yang terselindung. Tidak ada jaminan bahawa rumah-rumah itu tidak akan ditenggelami air," katanya.

Katanya, dia tidak marah dengan pihak berkuasa kerana mengambil masa yang lama untuk membina rumah-rumah baru, walaupun khemah tempat dia berteduh berada dalam keadaan tidak baik sekarang.

"Hampir semua bahagian koyak selepas berada di bawah matahari dan lembaran plastik terpaksa diletakkan di atasnya," katanya, sambil menambah dia bernasib baik berada di tempat yang lebih tinggi.

Ku Amran Ku Mat, 49, seorang lagi mangsa banjir yang tinggal khemah-khemah di kawasan lapang, tidak gembira apabila janji bahawa rumah ganti akan siap dalam tempoh empat bulan tidak ditunaikan.

"Kami telah tinggal di khemah ini berbulan-bulan lamanya. Saya bimbang kerana musim hujan akan tiba," katanya.

"Mungkin, pihak berkuasa cuba melakukan yang terbaik dan membina rumah baru kami di kawasan bebas banjir," katanya.

"Saya tak kisah menunggu, saya tidak mahu melalui sekali lagi apa yang saya lalui pada tahun lepas.

"Saya pasti semua orang di sini merasakan yang sama," katanya.

127 keluarga daripada kira-kira 200 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada tahun lepas telah tinggal di kem PLKN di Gua Musang.

Tetapi mereka perlu keluar pada bulan Disember sebelum pelatih diambil semula pada Januari.

Pembinaan rumah baharu untuk beratus-ratus mangsa banjir sedang dilakukan namun dalam proses yang perlahan.

Kira-kira 100 buah rumah telah dibina oleh kerajaan negeri dan persekutuan, dan angka itu tidak termasuk rumah yang dibina dan disiapkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan Buddha, Mercy Malaysia dan individu-individu tertentu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada rumah-rumah ini dibina di atas tiang setinggi 2.5 meter. Banjir besar akan menyebabkan mereka terkandas di rumah mereka tanpa jalan keluar sehingga penyelamat tiba.

Kebanyakan mangsa banjir juga enggan berpindah ke Kampung Telekung, kira-kira 30km dari Bandar Kuala Krai kerana mereka bekerja dan mempunyai perniagaan.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin, menyatakan bahawa musim tengkujuh telah bermula dan hujan lebat pertama dijangka turun awal minggu depan.

Walau bagaimanapun, ia berkata, fenomena El Nino akan mengurangkan risiko hujan lebat dan banjir yang melampau.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan