PAS Setuju Anggota PAC Angkat Sumpah Jaga Kerahsiaan

Diterbitkan: Isnin, 26 Oktober 2015 1:10 PM

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Baru)

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS bersetuju anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah kerahsiaan seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggota PAC yang baharu dilantik, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Baru) berkata sumpah kerahsiaan dirasakan perlu kerana isu 1MDB adalah isu besar, melibatkan kepentingan negara dan mendapat liputan awam.

"Saya rasa itu perkara yang perlu, sebab saya rasa kita lihat dalam jawatan-jawatan yang penting seperti jawatan menteri, menteri besar termasuk jawatan sebagai exco kerajaan negeri kita diwajibkan mengangkat sumpah kerahsiaan.

“Saya bersetuju untuk anggota PAC mengangkat sumpah kerahsiaan. Tetapi bukanlah bermakna anggota PAC ini tidak boleh langsung bercakap, ada perkara yang melibatkan hal yang disiasat itu perlu didedahkan kepada rakyat, tetapi ada tahap-tahapnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Takiyudin adalah salah seorang daripada lima ahli jawatankuasa PAC yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan bagi menggantikan mereka yang terpaksa melepaskan jawatan tersebut dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

Beliau menggantikan tempat Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaafar yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas lanjut beliau berkata tanggungjawab yang diberikan ini adalah satu tugas berat untuk dipikul.

“Saya kira perkara yang paling penting sekali ialah kerahsiaan.

“Perkara yang perlu dirahsiakan demi kepentingan negara menjadi tanggungjawab kepada ahli PAC untuk mereka ini tidak mendedahkan mengenai maklumat-maklumat, saya rasa ini tanggungjawab yang besar untuk ahli-ahli PAC termasuk saya yang baru dilantik,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang turut dilantik sebagai ahli PAC yang baharu berkata pelantikannya akan memberikannya tanggungjawab untuk menentukan perjalanan jawatankuasa ini berada di landasan betul.

“Saya ingin jadikan PAC sebagai jawatankuasa yang boleh diharapkan oleh rakyat.

“PAC sebelum ini tak nampak mempunyai sebarang kekurangan tetapi sudah tentu persepsi masyarakat perlu diambil kira dan kalau boleh kita ingin PAC kali ini dilihat dapat memberi sumbangan lebih baik kepada masyarakat dan negara.

Mengenai sumpah kerahsiaan, beliau berkata ia adalah satu cadangan yang baik.

“Kita berada dalam jawatan yang begitu tinggi dan mempunyai info rahsia, sebagai ahli kita kena rahsiakan perbincangan, jadi saya setuju jika ia dilaksanakan.

Secara peribadi, sepatutnya sebagai ahli tak boleh keluarkan kenyataan di luar, perlu beri kepada pengerusi sebagai orang yang bertanggungjawab buat kenyataan,” katanya.

Tags / Kata Kunci: PAC , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan