Bernard Dompok Bakal Dilantik Duta Malaysia Pertama Ke Vatican

Diterbitkan: Isnin, 26 Oktober 2015 3:39 PM

Bernard Dompok.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard Dompok bakal dilantik menjadi duta Malaysia pertama ke Vatican.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Perdana Menteri bersetuju dengan pencalonan Dompok sebagai duta ke Vatican dan beliau akan memulakan tugasnya seawal Januari depan selepas kertas kerja mengenainya dilengkapkan termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa Vatican.

Katanya, Dompok akan berpangkalan di Rom tetapi turut akan menjadi duta Malaysia ke Malta dan Albania sebaik sahaja pelantikannya dimuktamadkan.

"Kami merasakan beliau adalah pilihan yang tepat dalam pelbagai aspek. Beliau juga pernah mengadakan lawatan rasmi ke Vatican bersama dengan delegasi Malaysia.

"Beliau turut bertemu dengan beberapa ketua Katholik sepanjang lawatannya ke Vatican," kata Anifah kepada pemberita selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dari Republik Czech, Lubomir Zaoralek di sini Isnin.

Malaysia menjalin hubungan secara rasmi dengan Vatican pada 2011 selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu pada tahun yang sama dalam usaha Malaysia menggalakkan keamanan dan  keharmonian dunia.

Dompok yang bersara dari arena politik pada 2013 selepas hilang kerusi Parlimen Penampang turut menyertai rombongan Najib bertemu Paus Benedict XVI.

Beliau turut menyertai delegasi diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vatican pada 2002.

Tags / Kata Kunci: Bernard Dompok , Vatican

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan