Saravanan, Devamany Bersaing Jawatan Timbalan Presiden MIC

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2015 5:43 PM

Kedua-dua calon Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany (kiri) bersalaman dengan Datuk M Saravanan selepas penamaan calon di Ibu pejabat parti itu, Ahad.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemilihan semula MIC pada 6 Nov ini bakal menyaksikan persaingan satu lawan satu antara penyandang Naib Presiden Datuk M.Saravanan dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Seri S.K. Devamany bagi jawatan timbalan presiden parti itu.

Pengumuman itu dibuat Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam selepas tempoh penamaan calon selama dua jam tamat pada pukul 1.30 tengah hari di ibu pejabat parti di sini, Ahad.

Persaingan bagi jawatan nombor dua parti selepas enam tahun itu dijangka paling sengit kerana kedua-dua individu bukan calang-calang calon, malah memiliki rekod tersendiri dalam parti sebelum ini.

Jawatan timbalan presiden kini kosong apabila penyandangnya Dr Subramaniam menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden parti pada 21 Ogos lepas.

Dr Subramaniam turut mengumumkan bagi jawatan naib presiden, ia merupakan pertandingan empat penjuru.

Seramai lima calon mengemukakan kertas pencalonan bagi tiga jawatan naib presiden iaitu dua bekas Ketua Pemuda Datuk T. Mohan dan Datuk S.A.Vigneswaran, anak bekas Timbalan Presiden MIC Tan Sri S.Subramaniam, S.Sunther, Ketua Penerangan MIC pusat Datuk V.S. Mogan dan bekas Bendahari Agung Datuk Jaspal Singh.

Dr Subramaniam berkata pencalonan Sunther terpaksa ditolak berdasarkan perkara 59.1 Perlembagaan parti akibat tidak memenuhi tempoh lima tahun sebagai anggota parti.

"Mengikut Perkara 59.1, seseorang calon bagi pemilihan naib presiden mesti menjadi ahli parti secara berterusan selama tidak kurang daripada lima tahun," katanya.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata 44 calon layak bagi mengisi 23 kerusi Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

"Pada awalnya, kita menerima 45 pencalonan bagi CWC tetapi terpaksa menolak satu pencalonan iaitu bekas ketua bahagian Bukit Bintang C. Selvaraj berdasarkan Perkara 59.3 perlembagaan parti kerana beliau bukan delegasi parti sebab gagal pertahankan jawatan ketua bahagian," katanya.

Antara calon yang mengemukakan borang pencalonan dalam perebutan kerusi CWC adalah penyandangnya P. Kamalanathan, anak bekas presiden Datuk Seri S.Samy Vellu, Datuk Seri S.Vell Paari dan Setiausaha Agung A.Sakthivel.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr Subramaniam menasihati semua calon agar mematuhi peraturan pemilihan parti yang ditetapkan.

Beliau juga menegaskan supaya tiada sebarang politik wang dilakukan dalam pemilihan semula parti berusia 68 tahun itu.

Pemilihan semula MIC dijadualkan pada 6 Nov, diikuti Mesyuarat Agung Tahunan pada hari berikutnya, yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan MIC mengadakan semula pemilihan selepas membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013, selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: MIC , Saravanan , Devamany

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan