Pengusaha Makanan Diberi Amaran Beri Suntikan Tifoid Pada Pekerja Asing

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2015 6:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengusaha dan peniaga makanan yang menggaji pekerja asing diberi amaran supaya memberikan suntikan tifoid atau demam kepialu kepada pekerja mereka dalam usaha mengekang penyebaran wabak penyakit itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata pemeriksaan yang dijalankan oleh kementerian itu mendapati lebih 30 peratus majikan yang diperiksa menggaji pekerja asing yang tidak menerima suntikan berkenaan.

"Suntikan ini adalah wajib dan merupakan salah satu syarat yang perlu dipatuhi oleh pengusaha perusahaan makanan negara ini.

Kita telah memberikan amaran, jika mereka masih gagal mematuhinya, mereka akan berdepan tindakan," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon bagi pemilihan semula Majlis Tertinggi MIC di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam juga meminta pihak kontraktor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan supaya memastikan kebersihan penempatan pekerja asing di tapak-tapak pembinaan. 

Katanya pemeriksaan yang dijalankan mendapati penempatan berkenaan merupakan antara punca pencemaran dan penyebaran penyakit.

Bagaimanapun Dr Subramaniam berkata pekerja asing bukanlah satu-satunya penyebab peningkatan wabak kepialu kebelakangan ini.

Katanya wabak itu memang telah wujud di negara ini namun faktor persekitaran serta pengabaian kebersihan menjadi punca penyebarannya. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: tifoid , suntikan , Subramaniam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan