Penganjur Piala Sultan Selangor Mohon Maaf - Berita Semasa | mStar

Penganjur Piala Sultan Selangor Mohon Maaf

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2015 3:02 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penganjur Piala Sultan Selangor (TSSC) memohon maaf kerana membatalkan perlawanan antara Selangor dan Singapura pada Sabtu kerana jerebu.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya, Tan Sri Abdul Karim Munisar mengeluarkan kenyataan itu bagi pihak penganjur kepada semua pihak yang terjejas susulan pembatalan saingan itu.

Beliau berkata, penganjur masih berhasrat untuk meneruskan perlawanan itu kerana persiapan sudah dilakukan sejak sembilan bulan lalu.

Katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya perlawanan itu diteruskan dan berharap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih baik.

Bagaimanapun, disebabkan bacaan IPU mencecah 138 pada pukul 4 petang Sabtu, dan dengan nasihat Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kesihatan Selangor, perlawanan itu dibatalkan.

"Tuanku menitahkan supaya perlawanan itu dibatalkan kerana bimbang keadaan kesihatan pemain dan penonton termasuk di kalangan pelajar," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Sebelum perlawanan antara Selangor dan Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 9 malam, telah diatur beberapa acara bermula pukul 4 petang Sabtu di Stadium Shah Alam.

Antaranya, seramai 200 pelajar daripada 17 sekolah akan mengadakan persembahan, selain kumpulan Caliph Buskers, selain perlawanan pasukan veteran Selangor dan Singapura selama sejam bermula 8 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan