Lagi Suara Bantah Isu Bantuan Persekolahan RM100

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2015 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Golongan berpendapatan sederhana mula melahirkan keperitan yang bakal dialami selepas mengetahui mereka tidak akan mendapat bantuan persekolahan RM100 untuk anak-anak mereka tahun depan.

Bantuan itu hanya akan ditawarkan kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Peniaga insurans, Mohd Shuhaimi Mazlan, 41, membantah langkah terbaharu itu.

Malah katanya walaupun ada yang mungkin berfikir bahawa mereka yang memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan mampu menampung perbelanjaan sekolah anak-anak mereka, beliau berkata tanggapan itu adalah salah.

"Terdapat banyak yuran-yuran lain yang diminta pihak sekolah dari masa ke masa.

"Anak perempuan saya yang berusia 16 tahun menyertai beberapa kelab dan pasukan pancaragam sekolah. Saya perlu membayar yuran, kos pakaian seragam dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Ia kadang-kadang boleh mencecah sehingga RM100 setiap kali diperlukan.

"Saya mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan sebagai satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga, RM100 setiap anak boleh membantu meringankan beban saya sebelum ini," kata Mohd Shuhaimi, yang memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

Menerusi Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 bagi setiap murid pada setiap awal atau hujung tahun, hanya akan diberi kepada mereka yang penjaganya berpendapatan bawah RM3,000 sebulan mulai sesi 2016.

Sementara itu suri rumah Chua Hui Che, 45, berkata RM100 adalah "besar" bagi mereka yang telah menerima bantuan.

"Walaupun suami saya memperoleh pendapatan sekitar RM4,500 sebulan, ia adalah sukar bagi kami untuk menyara keluarga dalam keadaan ekonomi semasa.

"Dua daripada anak-anak saya kini berada di sekolah berasrama dan perbelanjaan tersebut semakin tinggi," katanya.

Di Ipoh, pengurus kilang K.C. Kong, 34, berkata Bajet 2016 sekali lagi meminggirkan golongan berpendapatan sederhana.

"Saya tahu kerajaan sedang cuba untuk merapatkan jurang antara semua lapisan rakyat tetapi saya rasa kecewa apabila golongan berpendapatan sederhana tidak mendapat apa-apa manfaat.

"Lebih banyak telah diperuntukkan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Namun satu perkara yang menarik ialah pelepasan cukai untuk keluarga dengan anak-anak berusia bawah 18 tahun kebawah digandakan daripada RM1,000 kepada RM2,000," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan